Wednesday, October 7, 2009

Ilmu, Kemahiran dan Keupayaan....

Salam...
Saya nak selesaikan topik "Faktor Dalaman yang Mempengaruhi Kejayaan Seseorang". Faktor dalaman yang mempengaruhi kejayaan seseorang boleh dibahagikan kepada 3 iaitu tahap motivasi, sikap serta gabungan ilmu, kemahiran dan keupayaan (singkatnya KSA-knowledge, skills & abilities). Kita telah bicarakan tentang tahap motivasi dan sikap. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada anda semua.
Faktor ilmu, kemahiran dan keupayaan sangat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam apa jua bidang kerjaya yang kita ceburi apatah lagi bagi golongan usahawan. Penguasaan ketiga-tiga elemen ini sangat membantu dalam melaksanakan tanggungjawab, tugas dan amanah yang diberikan kepada kita.
Mari kita bincangkan satu persatu.
  • ILMU adalah pengetahuan kita dalam sesuatu bidang perniagaan dan elemen-elemen yang berkaitan dengannya. ILMU hanya diperolehi dengan belajar sama ada secara formal atau tidak formal. Orang dulu kata "menuntut". Seorang usahawan perlu menguasai pelbagai ilmu keusahawanan dan perniagaan seperti ilmu pengurusan, ilmu produk, ilmu pemasaran, ilmu kewangan, ilmu perhubungan manusia dan pelbagai ilmu lagi. Apa yang penting ialah usahawan mesti sentiasa terbuka dan bersedia menambah ilmu baru, memahami ilmu sedia ada dan mempertingkatkan kefahaman dengan mengaitkan pelbagai sumber ilmu itu menjadi satu yang menyeluruh. Begitu juga penguasaan ilmu tentang diri, tujuan kehidupan dan ilmu ketuhanan perlu diberi perhatian yang sangat serius kerana kejayaan hakiki adalah apabila kita memperoleh syurga Allah.
  • KEMAHIRAN adalah kebolehan kita menggunakan ilmu yang dimiliki untuk menyelesaikan sebarang masalah dan cabaran dalam perniagaan. Antara kemahiran yang harus dibina ialah kemahiran membuat keputusan, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran mengawal diri, fikiran dan emosi, kemahiran dalam menentukan keutamaan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran teknikal, kemahiran teknologi dan sebagainya. Kemahiran hanya boleh diperoleh melalui latihan demi latihan. Orang moden kata "latih tubi". Perjalanan dan pengalaman akan terus meningkatkan kemahiran kita. Apa yang penting teruskan perjuangan dalam apa jua situasi kerana ia belum selesai dan tidak akan selesai!!!.
  • KEUPAYAAN adalah kemampuan kita dalam melaksanakan rancangan perniagaan. Nafsu kita selalu besar namun keupayaan kita ada batasnya. Oleh itu lakukan sesuatu yang terbaik berdasarkan sumber yang kita miliki. Pada peringkat awal perniagaan elakkan dari berhutang dan pinjaman. Saya sangat tidak menggalakkan anda membuat pinjaman pada awal perniagaan. Gunakan sumber-sumber yang anda miliki terlebih dahulu walaupun terpaksa menjual barangan kesayangan anda. Sejarah membuktikan kejayaan adalah milik mereka yang sanggup berkorban jiwa raga dan hartanya serta berjuang dan terus berjuang.

Sebagai kesimpulan, faktor tahap motivasi, sikap yang positif serta gabungan ilmu, kemahiran dan keupayaan adalah faktor dalaman yang membantu seseorang mencipta kejayaan demi kejayaan. Faktor dalaman adalah sesuatu yang boleh kita bina dan kita kawal. Oleh itu marilah kita bina dan kawal tahap motivasi, sikap, ilmu, kemahiran dan keupayaan kita.

Sekian...jumpa lagi

Tuesday, October 6, 2009

Kemaskan Idea Bisnes Anda Terlebih Dahulu!!!

Salam dan bertemu kembali...
Pada kali ini saya ingin berkongsi pandangan berkaitan topik di atas. Idea ini tercetus setelah berbicara dengan bekas pelajar saya yang berasal dari Perlis. Setelah menamatkan pengajian di UKM dalam bidang Pembangunan Manusia, beliau berpeluang membantu perniagaan keluarga. Saya katakan kepadanya "Tahniah untuk anda". Gunakan kesempatan ini untuk mempelajari dan memahami dunia perniagaan. Saya cukup gembira bila ada pelajar saya berminat dengan dunia perniagaan dan keusahawanan. Kami berbual dalam beberapa hal berkaitan dunia perniagaan.
Golongan muda memang ghairah untuk memulakan sesuatu terutamanya dalam dunia perniagaan kerana kebebasan dalam mencambahkan idea dan pandangan. Maklumlah mereka mempunyai pemikiran sebagai seorang BOSS. Berdasarkan perbincangan kami, saya ingin kongsikan dengan anda tentang kepentingan menulis rancangan perniagaan. Satu pertanyaan, mana yang perlu didahulukan...rancangan perniagaan atau perniagaan?
Secara ringkasnya saya mencadangkan agar mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan membuat rancangan perniagaan terlebih dahulu. Rancangan perniagaan adalah dokumen yang menjelaskan perjalanan perniagaan dengan terperinci. Rancangan perniagaan umpama peta yang akan menentukan arah tuju perniagaan dan strategi-strategi untuk sampai bagi memastikan kejayaan usahawan dan perniagaannya. Mengapa? Selalu berlaku sebuah idea yang hebat sering tidak menyeluruh. Setelah dilaksanakan baru menyedari banyak perkara belum diteliti dengan baik. Akibatnya mereka terpaksa melakukan banyak perkara yang membazirkan sumber, tenaga dan masa. Perkara itu sepatutnya telah diteliti terlebih dahulu. Memanglah itu pengalaman yang berharga, tetapi itu adalah pengalaman ngeri yang ramai orang telah lakukan yang boleh kita elak atau kurangkan.
Sabar...jangan terburu-buru. Idea perniagaan yang hebat perlu disusuli dengan pemikiran, rancangan dan tindakan yang hebat. Sesuatu idea yang hebat kadang kala menutup pandangan kita daripada melihat sesuatu halangan, cabaran dan perkara-perkara penting lain yang perlu diberi perhatian. Ambil masa menulis idea bisnes anda, telitikan, buat penilaian. Tuliskan rancangan perniagaan yang lengkap elemen-elemennya.
Mengikut Ab Aziz Yusof, rancangan perniagaan mempunyai kepentingan kepada usahawan seperti meningkatkan peluang untuk berjaya, membangunkan wawasan perniagaan, mengenalpasti pesaing-pesaing utama, menentukan bagaimana perniagaan akan diuruskan, meningkatkan keyakinan pihak-pihak berkepentingan, mengenalpasti halangan yang boleh menjejaskan perniagaan dan penilaian kendiri ke atas perniagaan yang akan diceburi.
Sebagai kesimpulan, tulislah rancangan perniagaan anda, nilaikan potensi perniagaan, kenalpasti dan bersedia berdepan dengan halangan dan cabaran, bangunkan strategi-strategi ampuh dan urus perniagaan secara bijaksana dan penuh kejujuran.
Sekian...

Thursday, October 1, 2009

Sikap Lebih Penting Dari Bakat...

Salam...

Pada minggu lepas saya menulis tentang faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang. Namun saya hanya sempat berbicara faktor dalaman iaitu tahap motivasi. Faktor motivasi sangat penting yang dipandu matlamat yang jelas dan realistik.

Pada kali ini saya akan bincangkan pula faktor dalaman yang kedua iaitu sikap. Sikap positif yang dimiliki oleh seseorang sangat membantu seseorang mencapai kejayaan demi kejayaan. Persoalannya adakah kita mempunyai sikap yang positif??? Adakah kita sentiasa mempamerkan sikap-sikap positif??? Apakah sikap-sikap positif yang kita miliki??? Adakah sikap-sikap positif dominan dalam diri kita???

Pengalaman menggendalikan kursus motivasi menunjukkan ramai dari kita miliki banyak sikap negatif berbanding sikap positif. Mereka boleh senaraikan berpuluh2 sikap negatif yang mereka miliki. Malah rasa bangga memilikinya. Tapi bila disuruh senaraikan sifat positif, masing-masing terngaga2...melopong....Seolah tidak memiliki walau satu sikap positif. Memanglah diakui kita banyak sikap negatif akibat dari didikan, persekitaran, pembacaan, tontonan dan pergaulan. Tetapi kita juga banyak sikap positif, cuma kita tidak berani tonjolkan sikap posotif itu untuk kemajuan diri. Sebenarnya kita boleh mencapai kejayaan demi kejayaan dengan hanya menggunakan satu sikap positif dengan syarat sikap-sikap negatif kita "nyahkan" jauh-jauh. Katakan TIDAK kepada sikap negatif. Katakan YA pada sikap positif. Sebagai contoh 'SIKAP RAJIN" tanpa mengikut musim, masa dan mood... pasti membantu anda membina kejayaan demi kejayaan...bukan gitu.

Sekian..

Tuesday, September 29, 2009

Mencari Waris Bisnes...

Salam.
Kelmarin saya pergi ke sebuah kedai membaiki basikal di Banting, Selangor. Membaiki basikal anak yang telah lama tidak digunakan. Basikal kak ngah yang mahu diwariskan kepada adik lelakinya yang berusia 10 tahun. Seperti biasa saya akan mengambil peluang untuk berbual dengan tokey kedai (seorang tionghua lingkungan 55 tahun). Bukan apa...cuma sebagai satu cara mendengar rintihan dan suara golongan peniaga. Juga untuk dapatkan bahan untuk dikongsi bersama. Pokoknya kita mesti peramah, mudah mesra dan pandai layan.
Beberapa perkara kami bincangkan .
Suasana sebelum dan selepas hari raya yang muram. Tokey ini memberi pandangan bahawa sambutan hari raya tahun ini muram dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu. Keadaan muram ini dijangka akan berterusan ketika sambutan Depavali dan Tahun Baru Cina pada tahun hadapan. Muramnya suasana mungkin berkaitan dengan situasi ekonomi yang masih lembab dan sikap terlalu berhati-hati dalam berbelanja. Mungkin juga disebabkan oleh penularan wabak H1N1. Bagi saya ini bala dari Tuhan akibat sikap manusia yang secara sengaja melanggar peraturan Tuhan. Bagaimana pula pandangan kita?
Perkara kedua yang kami bincang adalah fenomena anak tidak mahu mewarisi peniagaan keluarga. Saya tanyakan soalan cepu emas pada tokey ni. Tokey, siapa mau sambung bisnes ni bila tokey sudah tua? Anak tokey sudah besar ka? Tokey ini ada seorang anak lelaki berumur 25 tahun (bekerja di Singapura). Anaknya tidak berminat untuk mewarisi perniagaan ayahnya (kedai menjual dan membaiki basikal). Anaknya juga tidak mempunyai kemahiran membaiki basikal. Ini yang menjadi persoalan besar kepada si bapa. Perniagaan yang telah diusahakan berpuluh tahun ini mungkin akan berakhir...atau berpindah tangan ke pihak lain...

Sunday, September 27, 2009

Faktor yang Mempengaruhi Kejayaan Usahawan

Salam....
Setiap manusia yang waras akalnya pasti inginkan kejayaan dalam hidup...baik dalam pelajaran, kerjaya maupun kehidupan. Manusia terus menerus akan memburu kejayaan. Apa itu kejayaan? Apakah faktor yang mempengaruhi pencapaian sesuatu kejayaan? Soalan ringkas tetapi jawapannya pelbagai.
Mengikut pendapat kebanyakan orang kejayaan adalah apabila berjaya mencapai sesuatu matlamat atau tujuan. Persoalannya adakah kita semua mempunyai matlamat yang jelas. Kajian menunjukkan bahawa hanya 5 dari 100 orang dewasa mempunyai matlamat yang jelas. Matlamat boleh bersifat jangka panjang, jangka sederhana dan jangka pendek. Apakah faktor yang mempengaruhi kejayaan? Berdasarkan ilmu pengurusan, faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang boleh dibahagikankepada 3 iaitu:-
  1. Faktor organisasi
  2. Faktor dalaman
  3. Faktor luaran.
Pada kesempatan ini saya hanya memberi penekanan kepada faktor dalaman. Terdapat 3 elemen faktor dalaman yang mempengaruhi pencapaian kejayaan seseorang iaitu:-
  1. Faktor tahap motivasi
  2. Faktor sikap
  3. Faktor ilmu, kemahiran dan keupayaan
Faktor tahap motivasi sangat penting. Lagi tinggi tahap motivasi seseorang lagi cerah peluangnya mencipta kejayaan demi kejayaan. Motivasi yang tinggi berupaya menjadikan orang yang lemah jadi kuat, seorang yang penakut jadi berani. Namun begitu cabaran besar bagi kita adalah untuk mengekalkan tahap motivasi diri agar sentiasa tinggi. Antara kaedah untuk memelihara tahap motivasi adalah sentiasa menyegarkan matlamat dan memperbaharuinya. Matlamat jangka panjang seorang manusia adalah untuk memperoleh syurga Allah. Matlamat ini perlu dipegang erat dan jangan sesekali ia hilang. Untuk jangka sederhana matlamat adalah untuk membina tamadun gemilang yang memerlukan semangat juang yang tinggi dan sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk kemajuan umat. Jangan biarkan diri hanyut dengan dunia materialistik. Jangan biarkan diri terjebak dengan "matlamat menghalalkan cara". Jangan benarkan diri terperosok dengan agenda-agenda yang mempertikaikan peraturan Tuhan. Bagi matlamat jangka pendek pula adalah berbagai mengikut kerjaya dan industri yang kita ceburi. Bagi saya yang terlibat dalam pemasaran rangkaian matlamat jangka pendek adalah untuk melayakkan diri ke Forum Antarabangsa Diamond di Osaka Jepun pada tahun hadapan di samping matlamat jangka pendek yang lain.
Begitu juga sikap yang positif perlu sentiasa dibina dan dipupuk. Seorang pejuang dan pemburu kejayaan akan sentiasa melihat dari sisi yang positif. Faktor ilmu, kemahiran dan keupayaan turut mempengaruhi kejayaan seseorang. Maka kita mestilah sentiasa berusaha menambah ilmu yang bermanfaat, meningkatkan kemahiran sedia ada di samping mencari kemahiran-kemahiran baru dan memperkukuhkan keupayaan kita dalam melakukan aktiviti dan kerja kita.
Mudah-mudahan sedikit catatan ini membantu kita...perkongsian dan komen dialu-alukan

Saturday, September 26, 2009

Apa itu Pemasaran Rangkaian

Pernahkah anda mendengar perniagaan MLM? Sebahagian besar golongan dewasa pernah mendengarnya. Adakah anda TAHU? Adakah anda FAHAM? Pengalaman peribadi saya mendapati ramai orang pernah mendengar tentang perniagaan ini? Cuma mereka banyak mendengar dari sisi yang negatif. Walaupun pernah mendengar tetapi masih terlalu ramai yang tidak TAHU secara keseluruhan apatah lagi MEMAHAMI apa sebenarnya perniagaan MLM. Dalam ruangan ini izinkan saya menjelaskan secara ringkas tentang perniagaan MLM atau kini dikenali sebagai perniagaan jaringan (network business).
Secara ringkas perniagaan MLM adalah ramai orang melakukan sedikit aktiviti.
1. Anda membeli produk untuk kegunaan sendiri pada setiap bulan,
2. Anda mengsyor atau mencadang kepada orang lain pada setiap masa,
3. Anda menjual sedikit kepada orang lain pada setiap ketika, dan
4. Anda ajak orang yg sanggup buat kerja yg sama jadi ahli pada setiap masa.
Sekali imbas perniagaan MLM nampak begitu mudah. Ya memang mudah kerana semuanya telah tersedia. Tugas anda memberi komitmen untuk melakukannya. Perniagaan MLM anda tidak akan terbina dengan sendiri tanpa diusahakan. Anda mesti menjalankan perniagaan ini mengikut “SISTEM” yang telah terbukti berkesan. Hanya melalui “SISTEM” perniagaan MLM berkembang pesat ke seluruh dunia. Kenapa?
• Cuma memerlukan beberapa ratus sahaja untuk memulakannya
• Sesiapa sahaja boleh menjadi pengedar
• Hanya perlu menjual sedikit produk
• Tugas utama anda adalah mencari seramai mungkin pengedar baru.
Setiap manusia inginkan kehidupan yang selesa dan persekitaran yang menyenangkan. Ini adalah satu daya pendorong tersembunyi yang amat kuat yang menyumbang kepada kejayaan dalam perniagaan MLM. Asas kepada perniagaan MLM adalah perhubungan sesama manusia. Maka utamakan perhubungan manusia dalam setiap urusan ini. Untuk berasa selesa dan dihargai anda perlu menumpukan perhatian kepada nilai-nilai hidup anda seperti SABAR, MURAH HATI, BERFIKIRAN TERBUKA, BEKERJASAMA, JUJUR, INTEGRITI, JATI DIRI, BERANI, BERTERUS TERANG, KERKEPIMPINAN, KASIH SAYANG, MENDENGAR @ BELAJAR.

Kejujuran yang hilang...

Salam Aidil Fitri...

Pada kesempatan ini saya kongsikan sebuah luahan rasa seorang usahawan yang saya ziarahi ketika aidil fitri baru-baru ini. Seperti biasa saya sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan bahan-bahan cerita yang boleh dikongsi bersama dengan rakan usahawan yang lain... sebagai panduan dan juga pengajaran.

Topik perbualan berkisar dunia perniagaan dan keusahawanan. Kami berdua bersetuju bahawa dunia perniagaan penuh dengan peluang dan cabaran. Ada masa bagus dan adakalanya kurang...Itu adalah lumrah...tetapi bukan persoalan yang besar.

Persoalan besar yang harus direnungi dengan penuh keimanan ialah "nilai sebuah kejujuran" dalam diri seorang peniaga. Berapakah harga sebuah kejujuran? Mengapa terlalu sukar untuk mencari seorang usahawan yang jujur? Di mana hilangnya kejujuran itu? Pengalaman beliau jatuh dan bangun hampir 20 tahun dalam perniagaan menunjukkan bahawa adalah terlalu sukar untuk mencari usahawan yang jujur. Yang ada hanya mereka yang mengambil kesempatan. Menjadi seorang usahawan yang jujur adalah sebuah perjuangan yang besar. Jujur bukan material. Jujur tidak boleh diukur dengan wang ringgit. Jujur tidak boleh dilihat dari banyaknya projek dan besarnya kereta.

Sebuah pesanan untuk saya dan usahawan yang lain...berlaku jujur dan berkata benar...meskipun ia pahit.