Wednesday, June 10, 2009

Usahawan Kerjaya Pilihan: Peluang VS Ketakutan

Persoalan yang menarik untuk diberi perhatian adalah “Siapa Usahawan”. Pada pandangan saya usahawan adalah “Mereka yg mencipta satu perniagaan baru dan berdepan satu keadaan yg tidak pasti utk memperoleh keuntungan dan pertumbuhan dgn mengenalpasti peluang dan menyediakan sumber utk mencapainya”. Usahawan adalah “Orang yang mempunyai dorongan dalaman yang kuat, bijak, bertenaga dan berdisplin untuk bekerja keras”. Bila menyelami maksud usahawan, kita akan mengakui bahawa usahawan adalah insan yang sangat istimewa kerana usahawan memiliki ciri-ciri unik yang orang lain tidak suka dengan ciri atau sifat itu. Sebagai contoh sifat usahawan adalah “ mencipta”, “berdepan dengan ketidakpastian”, “mempunyai dorongan yang kuat”, “bertenaga dan berdisiplin untuk bekerja keras”.
Saya sering bertanya kepada pelajar universiti tahun akhir. Pertanyaan saya mudah “Siapa yang bersedia untuk menjadi seorang usahawan”. Cuba anda teka berapa peratus yang mahu? Jawapan yang diterima amat mendukacitakan. Anda tahu kenapa? Adakah perniagaan satu kerjaya yang hina? Tidak. Adakah perniagaan satu kerjaya baru? Tidak. Mereka mengakui kelebihan menjadi seorang usahawan, namun mereka tidak bersedia untuk memenuhi ciri-ciri seorang usahawan. Kesimpulan dari perbincangan itu adalah mereka (pelajar) tidak sanggup berdisiplin dan tidak bersedia untuk bekerja keras.
Satu perkara yang menarik adalah “PELUANG” untuk menjadi usahawan sentiasa terbuka dan tidak pernah tertutup sejak dari dahulu lagi. Belum pernah kita terbaca artikel atau mendengar berita tentang hal itu walaupun ketika ekonomi dalam keadaan gawat. Namun “KETAKUTAN” ahli masyarakat telah menghalang mereka dari berjinak dengan dunia keusahawanan. Ketakutan ini merangkumi banyak perkara. Namun dalam beberapa siri perbincangan, ketakutan yang biasa diutarakan itu hanya berkumandang dalam fikiran, hanya andaian sahaja. Bagi mereka yang mengambil inisiatif untuk berbincang dan mencari jalan keluar dari setiap permasalahan akhirnya akan terpikat dan berjuang dalam bidang perniagaan dan bergelar usahawan. Tahniah saya ucapkan.
Mengapa Usahawan Sebagai Pilihan. Ini satu persoalan besar dan mungkin kita boleh bincangkan kemudian. Sebagai maklumat masyarakat memilih usahawan sebagai pilihan kerjaya kerana sebab-sebab tertentu seperti pencapaian diri, kawalan diri, mencabar diri, melahirkan kreativiti, kerjaya fleksibel, kebebasan kewangan dan lain-lain. Setiap individu mempunyai alasan tersendiri. Persoalan yang lebih besar adalah “Mestikah Aku Menjadi Seorang Usahawan”, “Apakah jenis perniagaan yang selesa untuk saya?”, “Apakah jenis perniagaan yang boleh memperoleh untung?”.