Wednesday, October 7, 2009

Ilmu, Kemahiran dan Keupayaan....

Salam...
Saya nak selesaikan topik "Faktor Dalaman yang Mempengaruhi Kejayaan Seseorang". Faktor dalaman yang mempengaruhi kejayaan seseorang boleh dibahagikan kepada 3 iaitu tahap motivasi, sikap serta gabungan ilmu, kemahiran dan keupayaan (singkatnya KSA-knowledge, skills & abilities). Kita telah bicarakan tentang tahap motivasi dan sikap. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada anda semua.
Faktor ilmu, kemahiran dan keupayaan sangat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam apa jua bidang kerjaya yang kita ceburi apatah lagi bagi golongan usahawan. Penguasaan ketiga-tiga elemen ini sangat membantu dalam melaksanakan tanggungjawab, tugas dan amanah yang diberikan kepada kita.
Mari kita bincangkan satu persatu.
  • ILMU adalah pengetahuan kita dalam sesuatu bidang perniagaan dan elemen-elemen yang berkaitan dengannya. ILMU hanya diperolehi dengan belajar sama ada secara formal atau tidak formal. Orang dulu kata "menuntut". Seorang usahawan perlu menguasai pelbagai ilmu keusahawanan dan perniagaan seperti ilmu pengurusan, ilmu produk, ilmu pemasaran, ilmu kewangan, ilmu perhubungan manusia dan pelbagai ilmu lagi. Apa yang penting ialah usahawan mesti sentiasa terbuka dan bersedia menambah ilmu baru, memahami ilmu sedia ada dan mempertingkatkan kefahaman dengan mengaitkan pelbagai sumber ilmu itu menjadi satu yang menyeluruh. Begitu juga penguasaan ilmu tentang diri, tujuan kehidupan dan ilmu ketuhanan perlu diberi perhatian yang sangat serius kerana kejayaan hakiki adalah apabila kita memperoleh syurga Allah.
  • KEMAHIRAN adalah kebolehan kita menggunakan ilmu yang dimiliki untuk menyelesaikan sebarang masalah dan cabaran dalam perniagaan. Antara kemahiran yang harus dibina ialah kemahiran membuat keputusan, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran mengawal diri, fikiran dan emosi, kemahiran dalam menentukan keutamaan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran teknikal, kemahiran teknologi dan sebagainya. Kemahiran hanya boleh diperoleh melalui latihan demi latihan. Orang moden kata "latih tubi". Perjalanan dan pengalaman akan terus meningkatkan kemahiran kita. Apa yang penting teruskan perjuangan dalam apa jua situasi kerana ia belum selesai dan tidak akan selesai!!!.
  • KEUPAYAAN adalah kemampuan kita dalam melaksanakan rancangan perniagaan. Nafsu kita selalu besar namun keupayaan kita ada batasnya. Oleh itu lakukan sesuatu yang terbaik berdasarkan sumber yang kita miliki. Pada peringkat awal perniagaan elakkan dari berhutang dan pinjaman. Saya sangat tidak menggalakkan anda membuat pinjaman pada awal perniagaan. Gunakan sumber-sumber yang anda miliki terlebih dahulu walaupun terpaksa menjual barangan kesayangan anda. Sejarah membuktikan kejayaan adalah milik mereka yang sanggup berkorban jiwa raga dan hartanya serta berjuang dan terus berjuang.

Sebagai kesimpulan, faktor tahap motivasi, sikap yang positif serta gabungan ilmu, kemahiran dan keupayaan adalah faktor dalaman yang membantu seseorang mencipta kejayaan demi kejayaan. Faktor dalaman adalah sesuatu yang boleh kita bina dan kita kawal. Oleh itu marilah kita bina dan kawal tahap motivasi, sikap, ilmu, kemahiran dan keupayaan kita.

Sekian...jumpa lagi

No comments:

Post a Comment