Tuesday, September 29, 2009

Mencari Waris Bisnes...

Salam.
Kelmarin saya pergi ke sebuah kedai membaiki basikal di Banting, Selangor. Membaiki basikal anak yang telah lama tidak digunakan. Basikal kak ngah yang mahu diwariskan kepada adik lelakinya yang berusia 10 tahun. Seperti biasa saya akan mengambil peluang untuk berbual dengan tokey kedai (seorang tionghua lingkungan 55 tahun). Bukan apa...cuma sebagai satu cara mendengar rintihan dan suara golongan peniaga. Juga untuk dapatkan bahan untuk dikongsi bersama. Pokoknya kita mesti peramah, mudah mesra dan pandai layan.
Beberapa perkara kami bincangkan .
Suasana sebelum dan selepas hari raya yang muram. Tokey ini memberi pandangan bahawa sambutan hari raya tahun ini muram dibandingkan dengan tahun-tahun yang lalu. Keadaan muram ini dijangka akan berterusan ketika sambutan Depavali dan Tahun Baru Cina pada tahun hadapan. Muramnya suasana mungkin berkaitan dengan situasi ekonomi yang masih lembab dan sikap terlalu berhati-hati dalam berbelanja. Mungkin juga disebabkan oleh penularan wabak H1N1. Bagi saya ini bala dari Tuhan akibat sikap manusia yang secara sengaja melanggar peraturan Tuhan. Bagaimana pula pandangan kita?
Perkara kedua yang kami bincang adalah fenomena anak tidak mahu mewarisi peniagaan keluarga. Saya tanyakan soalan cepu emas pada tokey ni. Tokey, siapa mau sambung bisnes ni bila tokey sudah tua? Anak tokey sudah besar ka? Tokey ini ada seorang anak lelaki berumur 25 tahun (bekerja di Singapura). Anaknya tidak berminat untuk mewarisi perniagaan ayahnya (kedai menjual dan membaiki basikal). Anaknya juga tidak mempunyai kemahiran membaiki basikal. Ini yang menjadi persoalan besar kepada si bapa. Perniagaan yang telah diusahakan berpuluh tahun ini mungkin akan berakhir...atau berpindah tangan ke pihak lain...

No comments:

Post a Comment