Sunday, October 25, 2009

Keghairahan Boleh Melupakan Kepedihan

Salam,

Pada kali ini saya berhasrat untuk mengupas topik di atas. Apa yang tergambar dalam fikiran anda bila membaca tajuk "Keghairahan Boleh Melupakan Kepedihan". Anda mungkin cuba membayangkan sesuatu atau mungkin tiada apa yang tergambar. Tidak mengapa.

Catatan ini berdasarkan pemerhatian "gelagat" anak ke 4 saya Muhammad berumur 6 tahun. Anak saya ini boleh dikategorikan dalam "golongan istimewa" dan mendapat rawatan "terapi kerja" dan "terapi pertuturan" di Hospital Serdang sejak 4 tahun yang lalu.

Seminggu selepas hari raya aidil fitri baru-baru ini, saya belikan sebuah basikal untuk anak ini dari duit raya yang disatukan. Si Muhamad ini belum pandai menunggang basikal, maka perlu ditambah dengan 2 tayar sokongan yang berfungsi sebagai pengimbang. Mulai hari itu beliau bersama abangnya Umar (anak ke 3 saya berumur 10 tahun) sama-sama bermain basikal. Nak dijadikan cerita, dalam beberapa jam, pemegang tayar sokongan itu bengkok. Bila pemegang tayar sokongan ini bengkok maka ia tidak lagi boleh membantu mengimbangkan basikal yang ditunggang oleh Muhamad. Wujud keadaan serba salah dalam dirinya.

Saya hanya memerhatikan gelagatnya. Sekejap dia memegang basikal...sekejap meletakkan kembali dan membetulkan pemegang tayar sokongan yang rosak. Apakah perkiraan dan pertimbangan yang sedang bermain di kotak fikirannya. Pada pandangan saya Muhammad sedang menimbang dan mahu membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hasratnya atau melupakannya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meneruskan hasratnya menunggang basikal baru berwarna merah pilihannya itu.

...walaupun tanpa tayar sokongan...

Setelah mengambil keputusan itu, Muhammad terus mencuba...dan mencuba. Beberapa hari ini keghairahan untuk menunggang basikal terus mekar dan kembang. Walaupun jatuh berkali-kali namun ia tetap meneruskan usahanya. Luka, berdarah, sakit, mengaduh dan jatuh lagi tidak menjadi penghalang untuk mencapai hasratnya.
Muhammad mencuba..... jatuh... dia bangun ...cuba lagi ... dan jatuh... bangun lagi. Jatuh dan bangun, luka dan sakit menjadi sebahagian dari hidup ketika itu. Namun yang terus terpancar ialah keghairahan yang semakin ketara dan seluruh aktiviti hariannya terfokus kepada basikal. Apa tidaknya bangun dari tidur terus cari basikal hingga terbawa-bawa dalam mimpi.

Selepas bertarung dengan pelbagai harapan, halangan, risiko dan ketidakpastian, akhirnya Muhammad berjaya menunggang basikal tanpa perlu bergantung dengan tayar sokongan lagi. Kini dia menikmati sebuah pengalaman hidup. Tayar sokongan yang pada satu ketika dulu sangat diperlukan kini tidak diperlukan lagi. Tayar sokongan itu sudah boleh ditanggalkan.

Alah, itu cerita biasa je. Semua orang macam tu... Apa specialnya catatan ni, sampai nak dimuatkan dalam blog? Ini mungkin yang terkeluar dari mulut anda. Atau mungkin bermain dalam fikiran anda. Tidak mengapa. Saya tidak akan berkecil hati kerana saya telah bersedia menerimanya. Memang ini hanya sebuah cerita biasa dan kita juga pernah berdepan dengan situasi itu dan mungkin lebih hebat dari itu. Ya...saya setuju dengan anda.

Namun, persoalannya ialah mengapa kita selalu melupakan pengalaman dan pengajaran dari cerita-cerita ini? Kalau ketika zaman kanak-kanak kita tidak pernah mengenal erti kalah dan putus asa, tetapi mengapa itu menjadi ketakutan pada diri kita? Kita telah tahu bahawa latihan demi latihan akan menjadikan kita mahir? Mengapa kita malas berlatih? Kita juga telah tahu dalam perjuangan dan perniagaan pasti ada jatuh dan bangun. Tetapi mengapa ketika di usia dewasa kita takut bangun setelah jatuh? Mengapa kita sering memikirkan tentang kejatuhan dan kesakitan. Ke mana pergi keghairahan kita? Kenapa sudah tidak ghairah lagi untuk hidup? Mengapa tidak lagi ghairah dalam berfikir, merancang dan bertindak.
Cerita ringkas tadi membawa banyak pengajaran dan pedoman. Marilah kita ambil dan titipkan dalam perjuangan kita.
  • Basikal hanyalah sebagai alat, pentas, platform @ alat
  • Tayar sokongan sebagai bantuan, tunjukajar @ subsidi
  • Jatuh dan bangun adalah sebagai lumrah sebuah perjuangan
  • Keghairahan adalah semangat dalam perjuangan
  • Luka, berdarah dan pedih itu sebagai pengalaman sangat berharga
Sekian, mari kita berfikir sejenak...

Monday, October 19, 2009

Wahai Usahawan - Carilah Kebahagiaan Hidup

Salam dan bertemu kembali...

Pada tulisan yang lalu saya bicarakan beberapa petua mencari kedamaian dan ketenangan hati. Sememangnya kedamaian dan ketenangan itu satu anugerah yang sangat besar nilainya. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk mendapatkan ketenangan dan kedamaian. Kita mungkin pernah berdepan dengan situasi yang celaru dan perasaan keluh kesah dalam waktu yang berpanjangan. Keadaan begitu memberi kesan ke atas kesihatan mental, cara kita berfikir dan kesihatan fizikal dan emosi kita. Akhirnya semua yang kita buat seakan tidak menjadi.
Pada kali ini saya cuba memaparkan catatan mengenai "HIDUP YANG BAHAGIA". Adakah kebahagiaan hidup yang saya cari??? Ya, saya memang mencari kebahagian hidup. Anda bagaimana??? Apalah ertinya hidup jika kebahagiaan tidak pernah kita kecapi. Persoalannya, bagaimana mencari kebahagiaan hidup??? Adakah bahagia itu bila kita muda? Adakah kita bahagia bila dapat belajar tinggi2, dapat result yang baik? Adakah bahagia itu bila kita kaya dan banyak wang? Adakah kita bahagia dalam hidup bila ada jawatan besar, gaji besar? Adakah bahagia bila ada rumah besar, kereta mewah? Adakah hidup bahagia bila kita punyai isteri atau isteri2 yang cantik dan muda serta anak yang ramai? Adakah kita akan bahagia bila boleh melancong ke luar negara tiap-tiap tahun? Belum tentu bahagia hidup kita bila kita mempunyai semua itu!!! Ya mungkin kita bahagia ketika itu...bahagia yang bersifat sementara.
Pertanyaan pula, adakah kebahagiaan hidup bergantung kepada tingginya pendidikan, besarnya jawatan, banyaknya harta dan wang ringgit? Adakah kebahagiaan terletak pada besarnya rumah dan mewahnya kereta? Adakah bahagianya hidup terletak pada cantiknya isteri dan ramainya anak? Adakah bahagia dalam hidup kerana kita boleh mengelilingi dunia?
Dr 'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni dalam bukunya La'Tahzan menulis, adalah sesuatu yang pasti untuk mendapat kebahagiaan adalah keimanan kepada Allah, Tuhan alam semester. Sebab utama kebahagiaan adalah keimanan kepada Allah sebagai Tuhan, Muhamad sebagai Nabi dan Islam sebagai agama.
Firman Allah dalam surah An-Nahl: 97, bermaksud:
"Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki dan perempuan, sedang ia beriman maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka kerjakan".
Teman-teman para usahawan sekalian,
Tulisan ini sebagai peringatan untuk diri saya sendiri dan untuk teman2 sekalian. Mari kita renung sejenak dan menilai kembali apa yang telah dan sedang kita lakukan. Adakah aktiviti2 dan kesibukan kita itu memberikan rasa bahagia dalam hidup kita. Saya mendoakan agar itulah yang kita cari. Ya mencari sebuah kebahagiaan yang hakiki iaitu keimanan yang benar kepada Allah. Sesungguhnya harta, pangkat, isteri dan anak-anak itu adalah ujian buat kita. Mampukan kita menempuh ujian-ujian ini??? Beruntunglah bagi mereka yang sentiasa mensucikan jiwanya dan rugilah bagi mereka yang mengotorinya.
Sekian,

Wednesday, October 14, 2009

Lapang & Damaikan Dada Mu Wahai Usahawan

Salam...
Rasa lapang dan damai adalah satu anugerah yang besar pemberian Allah yang Maha Esa. Pada ketika dan saat ini adakah rasa lapang dan damai milik kita??? Para usahawan, adakah anda miliki dan nikmati rasa lapang dan damai? atau terus menerus dilanda rasa sempit dan keluh kesah??? Mengapa dada dan hati sukar untuk rasa lapang dan damai??? Di kesempatan ini saya catatkan beberapa sebab yang boleh melapangkan dan mendamaikan dada dan hati kita.
Sebab-sebab yang boleh melapangkan dan mendamaikan dada.
  • Tauhid yang benar. Kebersihan dan kesucian tauhid itu boleh membuat hati menjadi lapang, jauh lebih luas dari dunia dan isinya.
  • Amal soleh juga membuatkan dada menjadi lapang. Amal soleh itu adalah cahaya di dalam hati, sinar di wajah, kelapangan dalam rezeki dan penyataan cinta di hati orang-orang di sekelilingnya.
  • Keberanian. Seseorang pemberani adalah orang yang kaya hati, teguh pendirian dan kuat tubuhnya sebab hanya berharap kepada Allah. Dia tidak akan terusik oleh berbagai-bagai peristiwa, tidak goyah dengan desas-desus dan tidak goncang dengan suara-suara yang mencemaskan.
  • Menjauhi maksiat kerana maksiat adalah kesuraman, keliaran dan kegelapan. Dosa-dosa mematikan hati dan mewariskan kehinaan jika dilakukan terus menerus.
  • Menjauhi tindakan berlebihan dalam perkara sia-sia sama ada dalam percakapan, makan-minum dan bergaul.
  • Kurangkan tidur. Wahai kawan, engkau terlalu banyak tidur, sesungguhnya selepas hidup ini ada tidur yang panjang.

Mudah-mudahan kita beroleh manfaat.

Petikan dari buku La'Tahzan karangan Dr Aidh bin Abdulah Al-Qarni

Wednesday, October 7, 2009

Ilmu, Kemahiran dan Keupayaan....

Salam...
Saya nak selesaikan topik "Faktor Dalaman yang Mempengaruhi Kejayaan Seseorang". Faktor dalaman yang mempengaruhi kejayaan seseorang boleh dibahagikan kepada 3 iaitu tahap motivasi, sikap serta gabungan ilmu, kemahiran dan keupayaan (singkatnya KSA-knowledge, skills & abilities). Kita telah bicarakan tentang tahap motivasi dan sikap. Mudah-mudahan ia memberi manfaat kepada anda semua.
Faktor ilmu, kemahiran dan keupayaan sangat mempengaruhi kejayaan seseorang dalam apa jua bidang kerjaya yang kita ceburi apatah lagi bagi golongan usahawan. Penguasaan ketiga-tiga elemen ini sangat membantu dalam melaksanakan tanggungjawab, tugas dan amanah yang diberikan kepada kita.
Mari kita bincangkan satu persatu.
  • ILMU adalah pengetahuan kita dalam sesuatu bidang perniagaan dan elemen-elemen yang berkaitan dengannya. ILMU hanya diperolehi dengan belajar sama ada secara formal atau tidak formal. Orang dulu kata "menuntut". Seorang usahawan perlu menguasai pelbagai ilmu keusahawanan dan perniagaan seperti ilmu pengurusan, ilmu produk, ilmu pemasaran, ilmu kewangan, ilmu perhubungan manusia dan pelbagai ilmu lagi. Apa yang penting ialah usahawan mesti sentiasa terbuka dan bersedia menambah ilmu baru, memahami ilmu sedia ada dan mempertingkatkan kefahaman dengan mengaitkan pelbagai sumber ilmu itu menjadi satu yang menyeluruh. Begitu juga penguasaan ilmu tentang diri, tujuan kehidupan dan ilmu ketuhanan perlu diberi perhatian yang sangat serius kerana kejayaan hakiki adalah apabila kita memperoleh syurga Allah.
  • KEMAHIRAN adalah kebolehan kita menggunakan ilmu yang dimiliki untuk menyelesaikan sebarang masalah dan cabaran dalam perniagaan. Antara kemahiran yang harus dibina ialah kemahiran membuat keputusan, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran mengawal diri, fikiran dan emosi, kemahiran dalam menentukan keutamaan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran teknikal, kemahiran teknologi dan sebagainya. Kemahiran hanya boleh diperoleh melalui latihan demi latihan. Orang moden kata "latih tubi". Perjalanan dan pengalaman akan terus meningkatkan kemahiran kita. Apa yang penting teruskan perjuangan dalam apa jua situasi kerana ia belum selesai dan tidak akan selesai!!!.
  • KEUPAYAAN adalah kemampuan kita dalam melaksanakan rancangan perniagaan. Nafsu kita selalu besar namun keupayaan kita ada batasnya. Oleh itu lakukan sesuatu yang terbaik berdasarkan sumber yang kita miliki. Pada peringkat awal perniagaan elakkan dari berhutang dan pinjaman. Saya sangat tidak menggalakkan anda membuat pinjaman pada awal perniagaan. Gunakan sumber-sumber yang anda miliki terlebih dahulu walaupun terpaksa menjual barangan kesayangan anda. Sejarah membuktikan kejayaan adalah milik mereka yang sanggup berkorban jiwa raga dan hartanya serta berjuang dan terus berjuang.

Sebagai kesimpulan, faktor tahap motivasi, sikap yang positif serta gabungan ilmu, kemahiran dan keupayaan adalah faktor dalaman yang membantu seseorang mencipta kejayaan demi kejayaan. Faktor dalaman adalah sesuatu yang boleh kita bina dan kita kawal. Oleh itu marilah kita bina dan kawal tahap motivasi, sikap, ilmu, kemahiran dan keupayaan kita.

Sekian...jumpa lagi

Tuesday, October 6, 2009

Kemaskan Idea Bisnes Anda Terlebih Dahulu!!!

Salam dan bertemu kembali...
Pada kali ini saya ingin berkongsi pandangan berkaitan topik di atas. Idea ini tercetus setelah berbicara dengan bekas pelajar saya yang berasal dari Perlis. Setelah menamatkan pengajian di UKM dalam bidang Pembangunan Manusia, beliau berpeluang membantu perniagaan keluarga. Saya katakan kepadanya "Tahniah untuk anda". Gunakan kesempatan ini untuk mempelajari dan memahami dunia perniagaan. Saya cukup gembira bila ada pelajar saya berminat dengan dunia perniagaan dan keusahawanan. Kami berbual dalam beberapa hal berkaitan dunia perniagaan.
Golongan muda memang ghairah untuk memulakan sesuatu terutamanya dalam dunia perniagaan kerana kebebasan dalam mencambahkan idea dan pandangan. Maklumlah mereka mempunyai pemikiran sebagai seorang BOSS. Berdasarkan perbincangan kami, saya ingin kongsikan dengan anda tentang kepentingan menulis rancangan perniagaan. Satu pertanyaan, mana yang perlu didahulukan...rancangan perniagaan atau perniagaan?
Secara ringkasnya saya mencadangkan agar mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan membuat rancangan perniagaan terlebih dahulu. Rancangan perniagaan adalah dokumen yang menjelaskan perjalanan perniagaan dengan terperinci. Rancangan perniagaan umpama peta yang akan menentukan arah tuju perniagaan dan strategi-strategi untuk sampai bagi memastikan kejayaan usahawan dan perniagaannya. Mengapa? Selalu berlaku sebuah idea yang hebat sering tidak menyeluruh. Setelah dilaksanakan baru menyedari banyak perkara belum diteliti dengan baik. Akibatnya mereka terpaksa melakukan banyak perkara yang membazirkan sumber, tenaga dan masa. Perkara itu sepatutnya telah diteliti terlebih dahulu. Memanglah itu pengalaman yang berharga, tetapi itu adalah pengalaman ngeri yang ramai orang telah lakukan yang boleh kita elak atau kurangkan.
Sabar...jangan terburu-buru. Idea perniagaan yang hebat perlu disusuli dengan pemikiran, rancangan dan tindakan yang hebat. Sesuatu idea yang hebat kadang kala menutup pandangan kita daripada melihat sesuatu halangan, cabaran dan perkara-perkara penting lain yang perlu diberi perhatian. Ambil masa menulis idea bisnes anda, telitikan, buat penilaian. Tuliskan rancangan perniagaan yang lengkap elemen-elemennya.
Mengikut Ab Aziz Yusof, rancangan perniagaan mempunyai kepentingan kepada usahawan seperti meningkatkan peluang untuk berjaya, membangunkan wawasan perniagaan, mengenalpasti pesaing-pesaing utama, menentukan bagaimana perniagaan akan diuruskan, meningkatkan keyakinan pihak-pihak berkepentingan, mengenalpasti halangan yang boleh menjejaskan perniagaan dan penilaian kendiri ke atas perniagaan yang akan diceburi.
Sebagai kesimpulan, tulislah rancangan perniagaan anda, nilaikan potensi perniagaan, kenalpasti dan bersedia berdepan dengan halangan dan cabaran, bangunkan strategi-strategi ampuh dan urus perniagaan secara bijaksana dan penuh kejujuran.
Sekian...

Thursday, October 1, 2009

Sikap Lebih Penting Dari Bakat...

Salam...

Pada minggu lepas saya menulis tentang faktor yang mempengaruhi kejayaan seseorang. Namun saya hanya sempat berbicara faktor dalaman iaitu tahap motivasi. Faktor motivasi sangat penting yang dipandu matlamat yang jelas dan realistik.

Pada kali ini saya akan bincangkan pula faktor dalaman yang kedua iaitu sikap. Sikap positif yang dimiliki oleh seseorang sangat membantu seseorang mencapai kejayaan demi kejayaan. Persoalannya adakah kita mempunyai sikap yang positif??? Adakah kita sentiasa mempamerkan sikap-sikap positif??? Apakah sikap-sikap positif yang kita miliki??? Adakah sikap-sikap positif dominan dalam diri kita???

Pengalaman menggendalikan kursus motivasi menunjukkan ramai dari kita miliki banyak sikap negatif berbanding sikap positif. Mereka boleh senaraikan berpuluh2 sikap negatif yang mereka miliki. Malah rasa bangga memilikinya. Tapi bila disuruh senaraikan sifat positif, masing-masing terngaga2...melopong....Seolah tidak memiliki walau satu sikap positif. Memanglah diakui kita banyak sikap negatif akibat dari didikan, persekitaran, pembacaan, tontonan dan pergaulan. Tetapi kita juga banyak sikap positif, cuma kita tidak berani tonjolkan sikap posotif itu untuk kemajuan diri. Sebenarnya kita boleh mencapai kejayaan demi kejayaan dengan hanya menggunakan satu sikap positif dengan syarat sikap-sikap negatif kita "nyahkan" jauh-jauh. Katakan TIDAK kepada sikap negatif. Katakan YA pada sikap positif. Sebagai contoh 'SIKAP RAJIN" tanpa mengikut musim, masa dan mood... pasti membantu anda membina kejayaan demi kejayaan...bukan gitu.

Sekian..