Monday, April 19, 2010

"Motivasi Pencetus Kecemerlangan Diri"

Salam dan bertemu kembali....

Sudah agak lama saya tidak menulis di laman blog ini. Macam-macam urusan yang perlu dilaksanakan. Tidak mengapa kerana pada hari ini saya berjaya mencoret sedikit catatan...Allhamdulilah...segala pujian hanya untuk Allah

Pada 17hb April 2010 yang lalu saya diberi peluang untuk menyampaikan ceramah motivasi. Tajuknya "Motivasi Pencetus Kecemerlangan Diri". Program ini berlangsung di Pusat Latihan Pertahanan Awam, Jengka Pahang. Pesertanya seramai 89 orang (kalau tak salah) dari seluruh kawasan Pahang yang terdiri dari adik-adik belia dan beliawanis. Syukur pada Allah kerana semuanya berjalan lancar.

Pada catatan kali ini saya ingin kongsikan isi kandungan ceramah. Saya membincangkan lima perkara yang sangat membantu seseorang untuk mencipta kecemerlangan dalam apa juga bidang. Ceramah itu saya mulakan dengan menanyakan beberapa soalan seperti berapa umur anda? Berapa tinggi anda? Berapa berat anda?. Untuk ketiga-tiga soalan ini para peserta dengan girang memberikan jawapan. Ada yang berumur, 18, 19, 22 dan sebagainya. Begitu juga ada yang menjawap 42kg, 45kg dan 56kg untuk soalan berapa berat anda. Pendek kata suasana jadi riuh dan gamat dengan peserta memberikan jawapan.

Namun bila saya ajukan soalan yang berbunyi "Tahap motivasi anda". Sunyi sepi dewan. "Tahap motivasi saya" "Ehh..berapa ya tahap motivasi saya". Mungkin persoalan2 ini bermain dalam kotak fikiran peserta. Mungkin mereka tidak pernah terfikir tentang soalan ini. Maka berdasarkan jawapan kepada soalan ini saya mulakan sesi ceramah saya.


Mengapa jadi begitu? Sepatutnya kita tahu tahap motivasi diri kita untuk setiap ketika. Kita sepatutnya tahu sama ada tahap motivasi diri kita "tinggi", "sederhana" atau "rendah" kerana ia berkaitan dengan diri kita sendiri. Hanya diri kita sendiri yang tahu tahap motivasi kita. Untuk jadi cemerlang kita perlu dan mesti pastikan tahap motivasi kita berada di tahap "tinggi".

Pada sesi ceramah ini sya memberi penekanan kepada 5 perkara penting untuk membentuk kecemerlangan diri iaitu:


1. Tahap Motivasi, 2. Sikap yang positif, 3. Ilmu, 4. Kemahiran dan 5. Keupayaan

Sekian, bertemu lagi

Monday, February 1, 2010

Indahnya Dunia Bersama Bisnes MLM...

Salam dan selamat sejahtera.

Bertemu kembali setelah agak lama menyepi. Bukan apa hanya mengambil sedikit dari masa yang ada untuk menilai diri, arah tuju, komitmen dan semangat juang agar terus menerus segar dan membara. Sesungguhnya perjuangan ini penuh dengan dugaan dan cabaran. Yang paling menakutkan ialah kita terkeluar dari medan perjuangan dan ketika itu ajal menjemput kita. Mohon perlindungan dari Allah. Ya Allah matikan aku ketika tetap berada dalam medan perjuangan untuk meninggikan agamaMu.

Medan dakwah amat luas. Apabila saya memilih untuk berjuang dalam bidang keusahawanan dan perniagaan bermakna saya mesti sanggup mengambil risiko dan berani menongkah arus. Hal ini kerana dalam bidang ini terlalu banyak ujian dan cabaran. Usahawan jujur...itulah yang aku rindui.

Kuliah untuk Asas Keusahawanan terus berlalu dan kini dah masuk minggu ke 6. Banyak perkara yang saya sendiri pelajari walaupun saya yang mengendalikan kursus itu. Pada hari Rabu ini (3 Feb 2010) saya bersama pelajar membuat lawatan ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Cawangan Selangor di Shah Alam untuk mendapatkan penjelasan langsung dari pegawai SSM kaedah penubuhan perniagaan dan peraturan2 yang berkaitan dengannya. Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik.

Bersama ini saya paparkan sebuah klip video untuk tatapan anda semua. Selamat menonton dan semoga anda memperoleh sedikit info motivasi. Sekian

Sunday, January 3, 2010

Cerita Burung Di Waktu Pagi

Lazimnya setiap pagi hari cuti saya duduk di beranda rumah sambil melihat keindahan langit pagi. Cerah dan kadang kala mendung sebagai tanda hujan akan turun. Dalam suasana pagi kelihatan kumpulan-kumpulan burung terbang riang untuk memulakan kehidupan. Ya, burung terbang dan berkicau. Mereka menzahirkan rasa riang dan penuh pengharapan. Kicauan itu sebagai bukti kukuh semangat juang seekor pejuang. Terbang di langit biru di waktu pagi dan bersangka baik pada rezeki Tuhan. Terbang tanpa prasangka, tanpa permusuhan, tanpa konflik dan krisis. Terus-terusan berusaha mencari rezeki pada setiap hari.

Sebenarnya hampir setiap pagi cuti saya memerhatikan fenomena ini. Hanya melihat dengan mata tanpa ada pengajaran yang berguna. Namun pada pagi Ahad (3 Januari 2010) saya memperoleh satu pelajaran yang cukup besar. Perhatikan gelagat burung-burung itu dan carilah makna kehidupan.
Beberapa intipati dari fenomena ini yang dapat saya kongsikan dengan pembaca sekalian.
  1. Alangkah bahagianya jika diri ini (harap anda juga begitu) seperti burung-burung itu pada setiap hari. Bangun di awal waktu dengan azam seorang pejuang untuk meneruskan perjuangan dengan penuh keceriaan dan harapan walaupun semalam penuh dengan ujian-ujian gentir. Tetap bersemangat dan penuh dengan keazaman walaupun tidak menyambut dan meraikan Tahun Baru.
  2. Alangkah bahagianya jika anak-anakku bersemangat seperti burung-burung itu setiap pagi untuk ke sekolah. Ceria dan riang untuk menuntut ilmu dengan semangat kasih sayang walaupun tidak pernah memakai pakaian seragam baru.
  3. Alangkah bahagianya jika bekas anak-anak didik ku seperti burung-burung ini dalam meneruskan kehidupan. Meletakkan misi perjuangan sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini. Bukan hanya sekadar untuk memenuhkan perut dan mengejar dunia yang bersifat sementara. Peliharalah hubunganmu dengan ALLAH dan hubunganmu sesama manusia. Jangan biarkan prasangka, permusuhan, konflik dan krisis memesongkan diri mu dari ALLAH.
  4. Alangkah bahagianya jika anak-anak didikku seperti ini setiap kali menghadiri kuliah. Wajah yang ceria dan semangat yang membara. Meniti peluang yang masih terbuka luas seluas langit biru untuk membentuk diri menjadi seorang pejuang agama Allah untuk membebaskan seluruh masyarakat dari pengabdiaan diri selain dari ALLAH. Di akhir zaman ini terlalu ramai manusia menyembah tuhan selain ALLAH. Mereka menyembah tuhan-tuhan yang berupa pangkat, kedudukan, wang dan pengaruh.
  5. Alangkah bahagianya jika seluruh ahli jaringan bisnes ku seperti burung-burung itu. Tetap melakukan pekerjaan dan begitu yakin dengan rezeki ALLAH. Sentiasa bersangka baik sesama teman dan rakan seperjuangan. Wajah yang terpancar sinar keikhlasan dan berjuang hanya kerana ALLAH.
  6. Alangkah bahagianya jika seluruh usahawan di muka dunia ini berazam menjadi usahawan yang jujur kerana AKU amat merindui usahawan yang jujur.

Monday, December 28, 2009

Siapakah Usahawan???

Salam dan selamat sejahtera.

Bertemu kembali setelah agak lama bercuti dan asyik2 cuti di hujung bulan Disember 2009. Tahun 2009 akan tinggal sejarah. Ucapkan selamat jalan 2009 dan terima kasih kerana sudi bersama kami. Pastinya pelbagai pengalaman tercatat dalam tahun 2009 ini sama ada berupa kejayaan, dorongan, pujian atau pun berupa ujian, tangisan, pilu, sedih serta yang rasanya manis, masin, pahit dan masam. Kita nikmati semua dengan hati yang lapang, jiwa yang tenang dan penuh redha. Syukur kerana kita masih lagi bernafas dan jantung masih lagi berdengup...
Pada semester ini saya diberi amanah mengajar kursus baru program iaitu "Asas Keusahawanan" untuk pelajar tahun 2 Program Pembangunan Manusia UKM. Kursus ini menguji kemampuan saya meyakinkan pelajar bahawa menjadi usahawan adalah suatu perkara yang diberi keutamaan. Bolehkah saya berbuat demikian!!!
Kuliah pertama pun bermula dan topik perbincangan menjurus kepada konsep usahawan. Istilah usahawan atau "entrepreneur" berasal dari bahawa Perancis “entreprendre” yang bermaksud memikul sesuatu tugas. Mengikut Scarborough & Zimmerer (1988) pula usahawan ialah “Seorang yang mencipta satu perniagaan baru dan menghadapi satu keadaan yang tidak pasti demi untuk memperoleh keuntungan dan pertumbuhan dengan mengenalpasti peluang dan menyediakan sumber untuk mencapainya. Usahawan selalunya bermula hanya dengan idea yang selalunya mudah dan menyediakan sumber yang perlu untuk memindahkan idea tersebut kepada perniagaan yang sesuai

Menurut Kuratko & Hodgetts (2004) pula usahawan adalah “Seseorang yang berusaha untuk mengatur, mengurus dan mengambil risiko di dalam perniagaan”. Usahawan juga adalah pemakin kepada perubahan ekonomi yang menggunakan carian tersebut dengan maksud tertentu, perancangan teliti dan pertimbangan yang sesuai apabila membuat sebarang proses perniagaan.
Sebenarnya belum ada @ tidak ada satu takrifan khusus untuk usahawan. Takrifan yang diberi berdasarkan perspektif yang pelbagai dan sesuai dengan sifat usahawan itu yang rentas disiplin. Perbincangan tentang teori dan perspektif usahawan itu saya akan bawa kemudian.
Apakah perbezaan antara usahawan dengan peniaga?
Perbezaan ini boleh kita lihat dari aspek pengambilan risiko dan pengembangan perniagaan.
  • Peniaga mengambil risiko yang rendah
  • Usahawan mengambil risiko yg terkira @ sederhana.
  • Peniaga lebih berminat utk meneruskan perniagaan dari hari ke hari kerana ia merupakan pendapatan harian.
  • Usahawan lebih menumpukan kpd pengukuhan perniagaan sedia ada serta merancang utk kembangkan perniagaan ke tahap yang lebih besar dan mencabar.
Pada awal tadi kita mengucapkan selamat jalan dan terima kasih kepada tahun 2009. Pada bahagian akhir ini marilah kita ucapan selamat datang kepada tahun 2010 yang akan hadir beberapa hari lagi. Pastikan pada tahun 2010 ini kita bersedia untuk bekerja dan berjuang untuk menempa pelbagai kejayaan dan mengukir pengalaman manis. Dalam waktu yang sama juga kita mohon pada ALLAH agar tetap sabar dan tabah untuk berdepan dengan pihat getir perjuangan.
Sekian

Monday, December 14, 2009

Majlis Makan Malam Bersama Keluarga Rakan Bisnes

Syukur Allamdulillah, pada 12 Disember 2009 yang lalu, "Majlis Makan Malam Rakan Bisnes Bersama Keluarga" berjaya dilaksanakan. Majlis ini dibuat bagi meraikan rakan bisnes yang berjaya mencapai "target". Majlis yang amat sederhana ini diadakan di Teratak Hijjaz @ Astana Dugang Country Resort.
Saya selaku penyelaras program bisnes dan juga pengurus agensi diberi peluang memberi ucapan ringkas. Dalam ucapan itu saya menjelaskan beberapa perkara penting untuk dijadikan bekalan atau renungan. Perkara-perkara itu adalah seperti berikut:
  1. Kita adalah usahawan dan pastikan juga kita adalah pejuang. Setiap pejuang pasti sanggup dan sentiasa bersedia menempuh segala cabaran. Seorang pejuang tidak berjuang untuk kepentingan diri sendiri tetapi berjuang anak-anak, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.
  2. Persekitaran sentiasa berubah dan cabaran akan terus mendatang. Kita perlu sedar bahawa perubahan persekitaran yang berlaku ada yang di luar kawalan kita dan ada yang dalam kawalan kita. Persekitaran luaran seperti kelembaban ekonomi, inflasi dan kuasa beli pengguna di luar kawalan kita. Namun persekitaran dalaman diri kita tetap dalam kawalan kita. Umpamanya impian untuk menjadi usahawan yang jujur tetap dalam kawalan. Kemahuan dan keinginan untuk berkerja keras, semangat juang yang membara, melayan pelanggan dengan senyuman dari hati dan berperwatakan ceria masih dalam kawalan kita. Maka kawallah persekitaran yang boleh kita kawal.
  3. Saya mengakhiri ucapan itu dengan menegaskan bahawa seorang usahawan mesti terus melakukan kerja kita sebagai usahawan. Perubahan persekitaran pasti berlaku dan seorang pejuang tidak akan gentar berdepan dengan perubahan dan cabaran itu.


Wednesday, December 9, 2009

Catatan Perjalanan...Kuching dan Kota Kinabalu

Salam dan jumpa lagi...
Dah lama rasanya tak menulis di blog ni. Pada minggu lalu saya berada di luar kawasan untuk menyelia pelajar Program Pembangunan Manusia yang membuat latihan praktikum bagi wilayah Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak).

Perjalanan saya bermula pada 2 Disember dan berakhir pada 7 Disember 2009 bermula di Kuching dan Lundu Sarawak serta Likas, Kota Kinabalu Sabah.

Beberapa perkara yang mengembirakan saya dalam perjalanan ini. Antaranya dapat menikmati makanan Sarawak seperti Laksa Sarawak dan Mee Jawa versi Sarawak. Saya juga berpeluang menikmati makanan yang semakin popular iaitu nasi ayam "Penyek" yang rasanya enak sekali.

Namun yang paling menggembirakan ialah apabila berpeluang berjumpa bekas pelajar Program Pembanguan Manusia, UKM (anak murid) dan bertemu rakan sekuliah dahulu yang sama meniti pengalaman di Universiti Kebangsaan Malaysia (kampus Sabah) pada 1990-1993.

Saturday, November 28, 2009

Wahai Usahawan Jauhilah Sifat-Sifat Mazmumah (Tercela)

Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam rahmat Allah. Pada kali ini saya menyeru pada diri saya sendiri dan kepada usahawan sekalian, marilah kita berusaha menjauhi sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang tercela.

Menurut Imam al-Ghazali, antara sifat-sifat mazmumah adalah seperti berikut:-

1. Gemar Makan dan Minum
Para usahawan selalu menghadiri majlis-majlis keraian sama ada secara formal maupun informal. Pada kebiasaan majlis itu disediakan makanan yang pelbagai dan kadangkalanya mewah. Kita perlu mengawal diri dari mengambil makanan yang banyak dan membazir. Makanlah secara sederhana. Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yg bermaksud "Yang terlebih afdal (utama) pada Allah itu ialah orang yang banyak berlapar dan banyak bertafakur (berfikir sambil meneliti). Dan yang terlebih benci kepada Allah itu ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum." Hal ini kerana mereka yang selalu kekenyangan akibat gemar makan dan minum akan terhindar daripada melakukan ibadah kerana sentiasa terdorong untuk tidur dan istirahat.

2. Banyak Berkata-kata (yg sia-sia)
Usahawan dikenali sebagai orang yang suka bercakap. Elakkan bercakap perkara-perkara yang sia-sia yang boleh ditakrifkan sebagai bencana lisan iaitu mengumpat, menghina, berdusta dan bertengkar. Firman Allah SWT bermaksud "Tidak ada kebaikan pada kebanyakkan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mendamaikan antara manusia". (Al-Nisa:114).

3. Marah
Sifat marah berpunca daripada kurang sikap kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan terutama dalam keadaan tertekan. Orang yang bersifat demikian selalunya didorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. Seringkali orang yang pemarah ini mewarisi sifat-sifat seperti sombong, bongkak, tidak boleh ditegur dan lain-lain.

4. Hasad, Dengki, dan Iri Hati
Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi oleh orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya. Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yang maksudnya "Hasad itu memakan (memusnahkan) kebajikan sebagaimana api memakan (membakar) kayu". Untuk mengelakkan perasaan hasad, dengki dan iri hati, seseorang itu perlu selalu mengamalkan sifat tawaduk (rendah diri), mengucapkan puji dan syukur kepada Allah atas nikmat yang dikecapi oleh saudara seislam kita. Mudah-mudahan kita juga akan dilimpahi nikmat yang serupa oleh Allah.

5. Kasih pada Harta
Tiada salahnya memiliki harta dan kemewahan hidup, tetapi kemewahan yang membawa sifat bakhil, tamak dan membazir dibenci oleh Islam. Islam menuntut orang kaya dan orang berada menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat seperti bersedekah, berzakat dan membelanjakan harta ke jalan Allah. Firman Allah yang bermaksud "Hai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu dan anak pinakmu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka tergolonglah mereka di kalangan orang yang rugi" (Al-Munafiqun: 9).

6. Takbur
Banyak sebab yang boleh membawa seseorang itu kepada sifat takbur atau menyombong diri, antaranya sebab nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kecantikan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadah. Firman Allah yang bemaksudnya "Apabila dikatakan padanya: "Takutilah Allah," ia lalu dipengaruhi oleh kemegahan (takbur) yang membawanya kepada dosa, cukuplah neraka Jahanam (sebagai balasannya)". (Al-Baqarah:206)

Cara menghindari sifat takbur ialah selalu mengamalkan sifat tawaduk (rendah diri) dengan memperbanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal.

7. Riyak
Riyak ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Sifat riyak yang nyata seperti menunjuk-nunjuk dalam hal ibadah dan riyak yang tersembunyi ialah beratnya hati seseorang untuk beramal apabila bersendirian tetapi akan berbuat demikian apabila ada orang lain yang menyaksikannya.

Umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak bersifat riyak dan sebaik-baiknya hendaklah membiasakan diri untuk merahsiakan segala amalan baik supaya tidak diketahui orang. Perkara yang boleh membuatkan seseorang itu riyak ialah mempertontonkan keindahan tubuh badan, pakaian, ucapan dan perlakuan.
8. Ujub
Sifat ujub berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ia juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaan dan lain-lain. Sifat ujub boleh diatasi dengan sentiasa memikir bahawa tidak ada benda yang kekal di dunia ini. Setiap sifat boleh ditimpa keuzuran atau penyakit suatu hari nanti. Yang tinggi darjat keturunannya tidak akan dinilai di sisi Allah selain takwa dan yang kaya pula boleh mengalami bencara-bencara seperti kecurian, penculikan dan sebagainya. Sentiasa muhasabah diri sebagai hamba Allah akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat-sifat tercela ini.

9. Kasih akan Dunia
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupan dan kesenangan duniawi akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia telah digambarkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta dan anak pinak" (Al-Hadid: 20). Segala yang dijadikan di muka bumi ini adalah sebagai perhiasan dan cubaan kepada manusia untuk menilai baik buruknya amalan seseorang itu.
Seandainya insan itu mengenali hakikat kejadian dirinya dan mengenali rahsia dirinya dengan sebaik-baiknya, mengenali rahsia dan hikmah dunia ini sebagai tempat menimba bekalan takwa menuju akhirat, pasti kecintaan yang melampaui batas terhadap kehidupan dunia yang sementara ini akan terhapus.
(Sumber: Dato' Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Telaga Biru Sdn Bhd.)