Tuesday, October 6, 2009

Kemaskan Idea Bisnes Anda Terlebih Dahulu!!!

Salam dan bertemu kembali...
Pada kali ini saya ingin berkongsi pandangan berkaitan topik di atas. Idea ini tercetus setelah berbicara dengan bekas pelajar saya yang berasal dari Perlis. Setelah menamatkan pengajian di UKM dalam bidang Pembangunan Manusia, beliau berpeluang membantu perniagaan keluarga. Saya katakan kepadanya "Tahniah untuk anda". Gunakan kesempatan ini untuk mempelajari dan memahami dunia perniagaan. Saya cukup gembira bila ada pelajar saya berminat dengan dunia perniagaan dan keusahawanan. Kami berbual dalam beberapa hal berkaitan dunia perniagaan.
Golongan muda memang ghairah untuk memulakan sesuatu terutamanya dalam dunia perniagaan kerana kebebasan dalam mencambahkan idea dan pandangan. Maklumlah mereka mempunyai pemikiran sebagai seorang BOSS. Berdasarkan perbincangan kami, saya ingin kongsikan dengan anda tentang kepentingan menulis rancangan perniagaan. Satu pertanyaan, mana yang perlu didahulukan...rancangan perniagaan atau perniagaan?
Secara ringkasnya saya mencadangkan agar mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan membuat rancangan perniagaan terlebih dahulu. Rancangan perniagaan adalah dokumen yang menjelaskan perjalanan perniagaan dengan terperinci. Rancangan perniagaan umpama peta yang akan menentukan arah tuju perniagaan dan strategi-strategi untuk sampai bagi memastikan kejayaan usahawan dan perniagaannya. Mengapa? Selalu berlaku sebuah idea yang hebat sering tidak menyeluruh. Setelah dilaksanakan baru menyedari banyak perkara belum diteliti dengan baik. Akibatnya mereka terpaksa melakukan banyak perkara yang membazirkan sumber, tenaga dan masa. Perkara itu sepatutnya telah diteliti terlebih dahulu. Memanglah itu pengalaman yang berharga, tetapi itu adalah pengalaman ngeri yang ramai orang telah lakukan yang boleh kita elak atau kurangkan.
Sabar...jangan terburu-buru. Idea perniagaan yang hebat perlu disusuli dengan pemikiran, rancangan dan tindakan yang hebat. Sesuatu idea yang hebat kadang kala menutup pandangan kita daripada melihat sesuatu halangan, cabaran dan perkara-perkara penting lain yang perlu diberi perhatian. Ambil masa menulis idea bisnes anda, telitikan, buat penilaian. Tuliskan rancangan perniagaan yang lengkap elemen-elemennya.
Mengikut Ab Aziz Yusof, rancangan perniagaan mempunyai kepentingan kepada usahawan seperti meningkatkan peluang untuk berjaya, membangunkan wawasan perniagaan, mengenalpasti pesaing-pesaing utama, menentukan bagaimana perniagaan akan diuruskan, meningkatkan keyakinan pihak-pihak berkepentingan, mengenalpasti halangan yang boleh menjejaskan perniagaan dan penilaian kendiri ke atas perniagaan yang akan diceburi.
Sebagai kesimpulan, tulislah rancangan perniagaan anda, nilaikan potensi perniagaan, kenalpasti dan bersedia berdepan dengan halangan dan cabaran, bangunkan strategi-strategi ampuh dan urus perniagaan secara bijaksana dan penuh kejujuran.
Sekian...

No comments:

Post a Comment