Saturday, November 28, 2009

Wahai Usahawan Jauhilah Sifat-Sifat Mazmumah (Tercela)

Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam rahmat Allah. Pada kali ini saya menyeru pada diri saya sendiri dan kepada usahawan sekalian, marilah kita berusaha menjauhi sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang tercela.

Menurut Imam al-Ghazali, antara sifat-sifat mazmumah adalah seperti berikut:-

1. Gemar Makan dan Minum
Para usahawan selalu menghadiri majlis-majlis keraian sama ada secara formal maupun informal. Pada kebiasaan majlis itu disediakan makanan yang pelbagai dan kadangkalanya mewah. Kita perlu mengawal diri dari mengambil makanan yang banyak dan membazir. Makanlah secara sederhana. Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yg bermaksud "Yang terlebih afdal (utama) pada Allah itu ialah orang yang banyak berlapar dan banyak bertafakur (berfikir sambil meneliti). Dan yang terlebih benci kepada Allah itu ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum." Hal ini kerana mereka yang selalu kekenyangan akibat gemar makan dan minum akan terhindar daripada melakukan ibadah kerana sentiasa terdorong untuk tidur dan istirahat.

2. Banyak Berkata-kata (yg sia-sia)
Usahawan dikenali sebagai orang yang suka bercakap. Elakkan bercakap perkara-perkara yang sia-sia yang boleh ditakrifkan sebagai bencana lisan iaitu mengumpat, menghina, berdusta dan bertengkar. Firman Allah SWT bermaksud "Tidak ada kebaikan pada kebanyakkan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mendamaikan antara manusia". (Al-Nisa:114).

3. Marah
Sifat marah berpunca daripada kurang sikap kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan terutama dalam keadaan tertekan. Orang yang bersifat demikian selalunya didorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. Seringkali orang yang pemarah ini mewarisi sifat-sifat seperti sombong, bongkak, tidak boleh ditegur dan lain-lain.

4. Hasad, Dengki, dan Iri Hati
Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi oleh orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya. Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yang maksudnya "Hasad itu memakan (memusnahkan) kebajikan sebagaimana api memakan (membakar) kayu". Untuk mengelakkan perasaan hasad, dengki dan iri hati, seseorang itu perlu selalu mengamalkan sifat tawaduk (rendah diri), mengucapkan puji dan syukur kepada Allah atas nikmat yang dikecapi oleh saudara seislam kita. Mudah-mudahan kita juga akan dilimpahi nikmat yang serupa oleh Allah.

5. Kasih pada Harta
Tiada salahnya memiliki harta dan kemewahan hidup, tetapi kemewahan yang membawa sifat bakhil, tamak dan membazir dibenci oleh Islam. Islam menuntut orang kaya dan orang berada menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat seperti bersedekah, berzakat dan membelanjakan harta ke jalan Allah. Firman Allah yang bermaksud "Hai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu dan anak pinakmu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka tergolonglah mereka di kalangan orang yang rugi" (Al-Munafiqun: 9).

6. Takbur
Banyak sebab yang boleh membawa seseorang itu kepada sifat takbur atau menyombong diri, antaranya sebab nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kecantikan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadah. Firman Allah yang bemaksudnya "Apabila dikatakan padanya: "Takutilah Allah," ia lalu dipengaruhi oleh kemegahan (takbur) yang membawanya kepada dosa, cukuplah neraka Jahanam (sebagai balasannya)". (Al-Baqarah:206)

Cara menghindari sifat takbur ialah selalu mengamalkan sifat tawaduk (rendah diri) dengan memperbanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal.

7. Riyak
Riyak ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Sifat riyak yang nyata seperti menunjuk-nunjuk dalam hal ibadah dan riyak yang tersembunyi ialah beratnya hati seseorang untuk beramal apabila bersendirian tetapi akan berbuat demikian apabila ada orang lain yang menyaksikannya.

Umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak bersifat riyak dan sebaik-baiknya hendaklah membiasakan diri untuk merahsiakan segala amalan baik supaya tidak diketahui orang. Perkara yang boleh membuatkan seseorang itu riyak ialah mempertontonkan keindahan tubuh badan, pakaian, ucapan dan perlakuan.
8. Ujub
Sifat ujub berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ia juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaan dan lain-lain. Sifat ujub boleh diatasi dengan sentiasa memikir bahawa tidak ada benda yang kekal di dunia ini. Setiap sifat boleh ditimpa keuzuran atau penyakit suatu hari nanti. Yang tinggi darjat keturunannya tidak akan dinilai di sisi Allah selain takwa dan yang kaya pula boleh mengalami bencara-bencara seperti kecurian, penculikan dan sebagainya. Sentiasa muhasabah diri sebagai hamba Allah akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat-sifat tercela ini.

9. Kasih akan Dunia
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupan dan kesenangan duniawi akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia telah digambarkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta dan anak pinak" (Al-Hadid: 20). Segala yang dijadikan di muka bumi ini adalah sebagai perhiasan dan cubaan kepada manusia untuk menilai baik buruknya amalan seseorang itu.
Seandainya insan itu mengenali hakikat kejadian dirinya dan mengenali rahsia dirinya dengan sebaik-baiknya, mengenali rahsia dan hikmah dunia ini sebagai tempat menimba bekalan takwa menuju akhirat, pasti kecintaan yang melampaui batas terhadap kehidupan dunia yang sementara ini akan terhapus.
(Sumber: Dato' Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Telaga Biru Sdn Bhd.)

Tuesday, November 17, 2009

IMPIAN + PELUANG + USAHA = HASIL

Salam...dah jumpa lagi.

Pada kali ini saya ingin bicarakan tentang formula untuk mencapai keberhasilan. Anda semua mahu berhasil dalam kehidupan ini? Jawapannya: MESTI MAHU. Betul ke? BETUL. Tetapi pada hakikatnya TIDAK. Sebenarnya terlalu ramai orang tidak mahu dan tidak inginkan keberhasilan dalam hidup. Mereka hanya bercita-cita menjadi orang biasa-biasa sahaja. Hanya segelintir sahaja yang benar-benar mahu berhasil dalam kehidupan ini. Jangan kita tergoda dan terpedaya dengan ucapan di bibir yang manis. Perhatikan usaha mereka. Maka BENAR, hanya segelintir sahaja yang benar-benar berusaha untuk berhasil, sedangkan sebahagian besar manusia hanya ingin berhasil tanpa disusuli usaha tekun yang berterusan. Bagi mereka yang benar-benar mahu berhasil saya nukilkan formula untuk mencipta kejayaan. Namun begitu anda perlu memberi kerjasama dengan menjawab soalan dan persoalan yang ditanyakan. Tuliskan di atas sehelai kertas. Kemudian anda analisa jawapan-jawapan itu dengan jujur...untuk kebaikan dan manfaat anda sendiri.

Soalan 1. Apa IMPIAN anda.

Sila tuliskan jawapan anda di atas sehelai kertas. Anda ada IMPIAN? Apa IMPIAN anda? Mungkin impian anda untuk mendapat pendapatan yang lebih besar; Memiliki perniagaan sendiri; Melancong ke luar negara setiap tahun; Penghargaan dan pengiktirafan; Memiliki masa yang boleh diurus sendiri? Jika anda mempunyai impian-impian ini, anda harus bertanya selanjutnya, adakah impian itu boleh dicapai dengan pekerjaan sekarang? YA atau TIDAK. Jika YA, bagus anda boleh terus menekuni pekerjaan sekarang. Jika jawapannya TIDAK, maka anda perlu tanyakan pada diri sama ada terus menekuni pekerjaan sekarang atau perlu mencari peluang-peluang lain yang membolehkan anda mencapai impian anda itu.





Soalan 2. Apakah PELUANG yang anda ada? Jika tidak ada, apa PELUANG yang perlu anda cari dan teroka. Sebenarnya terlalu banyak peluang di sekeliling kita. Cuma anda perlu melihatnya dengan kaca mata atau sisi yang positif. Saya bersedia menawarkan peluang untuk anda jika anda sudi menerimanya. Peluang ini hanya untuk mereka yang mahu bekerja dan komited untuk bekerja secara tekun, sabar dan jujur.


Soalan 3. Apakah USAHA yang perlu anda tekuni.

Setiap peluang yang ada perlu ditekuni. Sejarah membuktikan bahawa mereka yang mengambil kesempatan dari setiap peluang dan tekun melakukannya secara berterusan jauh berhasil dari mereka yang memperoleh peluang yang sama tetapi tidak menekuninya.
Berdasarkan kepada soalan-soalan ini maka boleh disimpulkan bahawa keberhasilan bergantung kepada beberapa faktor iaitu IMPIAN, PELUANG dan USAHA. Jika kita gabungkan faktor-faktor ini secara holistik maka anda akan memperoleh keberhasilan dengan izin ALLAH.
Izinkan saya memberi contoh. Jika IMPIAN anda adalah mendapat pendapatan yang lebih baik, memandu kereta mewah, melancong ke luar negara setiap tahun bersama pasangan dengan layanan VIP dan memperoleh pengiktirafan dan penghargaan. Apakah PELUANG yang ada untuk mencapai impian anda itu. Jika inilah IMPIAN anda, saya sarankan anda meneroka peluang perniagaan jaringan (Multi-Level Marketing @ Network Marketing), kerana perniagaan MLM menawarkan faedah-faedah ini. Anda harus meneroka peluang ini. Kemudian anda perlu lakukan USAHA. Bisnes jaringan memerlukan anda mengguna produk (dalam nilai tertentu), menjual produk dan mengajak orang lain yang sanggup melakukan kerja-kerja yang seharusnya dilakukan dalam perniagaan ini. USAHA mestilah secara berterusan selagi anda memgambil PELUANG ini bagi merealisasikan IMPIAN anda. Gabungan padu IMPIAN + PELUANG + USAHA ini memberikan HASIL. Jangan abaikan mana-mana elemen.

Bagaimana meyakinkan diri untuk meneroka bisnes jaringan. Bagaimana memberi motivasi pada diri bahawa perniagaan jaringan memang benar-benar boleh merealisasikan impian. Percayalah bahawa perniagaan jaringan adalah satu peluang yang boleh merealisasi impian anda dengan syarat anda tekun mengusahakannya.

Nantikan catatan lanjut: Ayam Jantan Dari Timur


Wednesday, November 11, 2009

Si Tukang Kunci

Dalam catatan yang lalu saya janjikan sebuah catatan motivasi. Ya sebuah catatan motivasi bisnes berjudul “ Si Tukang Kunci”. Mohon teliti isi dan pengajaran.
Pernahkah anda membuat kunci pendua? Saya mengandaikan kita semua pernah membuat kunci pendua sama ada untuk bilik, rumah, motor, kereta dan sebagainya. Pernahkan anda memerhatikan proses membuat kunci pendua itu? Ya pasti pernah. Pernahkan anda terfikir bahawa terdapat sebuah pelajaran besar untuk bekalan hidup dari perkara itu? Mungkin “Ya”. Mungkin juga “TIDAK”. Mengapa saya berkata begitu? Sebelum ini saya juga pernah membuat kunci pendua tetapi tidak dapat melihat sebuah pelajaran darinya.
Pernahkah anda melihat proses membuat kunci pendua secara manual? Belum pernah? Tidak kisahlah sama ada secara manual ataupun mesin kerana kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu membantu orang menyelesaikan masalah mereka.

Dalam kehidupan ini peniaga yang kurang modal biasanya menggunakan cara manual dalam aktiviti pengeluaran dan perkhidmatan, sedangkan peniaga yang ada modal besar menggunakan mesin semi-auto atau auto sepenuhnya. Walaupun mereka terlibat dalam bidang perniagaan yang sama tetapi cara berbeza akibat dari modal yang berbeza. Cara manual perlu guna lebih tenaga, lebih kesabaran, lebih ketabahan, lebih masa dan lebih penat, berbanding yang guna mesin yang perlu lebih modal, guna kurang tenaga, lebih cepat dan kurang penat. Namun kedua-dua peniaga ini masih boleh dan mampu mencipta kejayaan. Hal ini kerana mereka tetap perlu melakukan proses kerja secara berterusan untuk membentuk besi menjadi sebuah kunci yang bermanfaat kepada manusia. Yang berbeza cuma jumlah penghasilan. Proses kerja tetap sama.

Apakah pelajaran yang boleh kita ambil. Kejayaan bukan diukur pada jumlah modal tetapi oleh usaha dan proses kerja yang dilakukan. Proses kerja yang berterusan tanpa ikut musim, tanpa ikut "mood", tanpa mengenal erti penat, tanpa keluhan dan penuh kejujuran adalah lebih bernilai.

Pelajaran dari catatan ini lebih jelas bagi usahawan bisnes jaringan (MLM) kerana aktiviti utama mereka ialah duplikasi (duplikasikan orang untuk melakukan hal yang sama). Usahawan MLM perlu membuat kerja duplikasi ini tanpa henti (Ini tugas kita, amanah yang diberikan kepada kita). Setiap usahawan MLM melakukan kerja ini secara berterusan dan menduplikasikan kepada pengedar-pengedar baru. Lebih banyak kunci yang anda duplikasikan bermakna kejayaan anda lebih besar. Lakukan kerja duplikasi ini secara berterusan dan hasilnya adalah kejayaan yang hebat.

  • Mengguna sendiri produk
  • Menjual
  • Mengajak (menaja) & membimbing pengedar baru
  • Meningkatkan ilmu, kemahiran & keupayaan
  • Diiringi dengan DOA (tingkatkan tahap motivasi dan bentuk sikap positif)

Jika pembuat kunci membentuk batang-batang besi menjadi sesuatu yang berguna kepada manusia. Usahawan bisnes jaringan pula membentuk manusia di sekeliling mereka menjadi insan berjaya yang berupaya membentuk orang lain menjadikan hidup ini sesuatu yang indah.

Monday, November 9, 2009

Sebuah Catatan Perjalanan...Makassar

Salam...Bertemu kembali

Syukur, selamat kembali dari sebuah perjalanan ke Makassar Sulawesi Selatan, Indonesia. Perjalanan 6 hari bermula pada 4 Nov - 9 Nov 2009 menggunakan penerbangan AirAsia pada jam 12.50 pm dan mendarat di Bandar Udara Hasanuddin jam 4.15 pm.

Pada malam itu menginap Wisma Dosen (Pensyarah) di Universiti Hasanuddin, Makassar dan berpeluang berkenalan dengan Dr. Jeniffer (pensyarah dari USA dalam bidang Antropologi dan Kesihatan Umum). Juga berpeluang bertamu di rumah Prof. Dr Anuar Arrifin (pernah belajar di UKM 1988).

Pada 5 Nov 2009, memulakan perjalanan ke Pinrang dan Poliwali Sulawesi Barat. Perjalanan mengambil masa 6 jam dan melalui Kota Pare-Pare iaitu sebuah pelabuhan yang kelihatan bersih. Malam itu menginap di Hotel Ratih, Poliwali Sulawesi Barat (malam makan Nasi Goreng Yanco- enak sekali). Berlaku peristiwa Pak Nurdin tertinggal kunci dalam kereta (kami harus mencari jalan keluar untuk selesaikan masalah, bukan fikirkan masalah). Akhirnya berjaya mendapatkan kunci itu tanpa memecahkan cermin tingkap.

6 Nov 2009, selepas sarapan pagi, bersiar di Mandar, Sulawesi Barat dan kemudian ke Kg Pakalele Pinrang, Sulawesi Selatan. Pak Nordin singgah untuk membuat kunci pendua kereta (satu pengajaran dari peristiwa semalam). Ada satu catatan motivasi bisnes hebat dari peristiwa ini. Tunggu...akan menyusul..."Si Tukang Kunci"

Di Kg Pakalele, 3 sesi penerangan peluang bisnes berlangsung. Sesi bermula dengan bertanyakan IMPIAN, diikuti dengan tawaran PELUANG, disusuli dengan cara melakukan USAHA dan barulah memperoleh HASIL. Saya memberi penekanan pentingnya IMPIAN + PELUANG + USAHA = HASIL. Ini bermakna penghasilan bergantung kepada berapa besarnya IMPIAN kita, berapa bagusnya PELUANG yang ada dan berapa tekunnya USAHA yang dilakukan oleh seseorang.

7 Nov 2009, selepas sarapan di Hotel Ratih, saya bersama Pak Nurdin berkunjung ke rumah Ibu Pahirah. Ibu Pahirah adalah seorang usahawan pakaian yang pelanggannya ramai di Irian Jaya dan Singapura. Saya bertanggungjawab menjelaskan SISTEM dan kerja yang mesti dilakukan oleh setiap pengedar @ usahawan bisnes jaringan. Bisnes jaringan perniagaan MLM memerlukan seseorang pengedar melakukan kerja secara berterusan. Kerja seorang usahawan bisnes jaringan boleh dibahagikan kepada 5 yang utama iaitu:
  1. Mengguna/ memakai produk syarikat setiap bulan
  2. Menjual produk kepada pengguna
  3. Mengajak orang yang mahu buat kerja-kerja ini.
  4. Menambah ilmu & kemahiran bagi meningkatkan kecekapan melakukan kerja
  5. Disertai dengan doa
Dalam misi ini kami hanya menawarkan peluang perniagaan hebat ini kepada individu2 yang sanggup melakukan kerja-kerja di atas. Pada sebelah petang pula saya menerangkan peluang bisnes hebat ini kepada seorang guru. Selepas solat Maghrib, saya memulakan perjalanan pulang ke Makassar menaiki kereta Kijang Innova. Perjalanan mengambil masa 6 jam dan sampai di Makassar jam 2.30 pagi.

8 Nov 2009, saya berkesempatan berbual panjang dengan Pak Osman. Topik perbincangan berkisar tentang kehidupan dan perjuangan. Saya sangat beruntung mengenali Pak Osman. Beberapa perbincangan menarik untuk diteliti seperti teori VS praktikal, ilmu buku VS ilmu luar buku, ilmu logik VS ilmu luar logik. Saya merasakan ilmu, panduan dan pelajaran selama 4 hari bersama Pak Osman memberi sebuah pelajaran bernilai 4 tahun di universiti. Ada sebuah panduan bermakna bagi meningkatkan hubungan sesama manusia akan saya paparkan nanti yang bernama "Teori Kehidupan".

9 Nov 2009, masih berkesempatan berbicara dengan Pak Osman. Memperkemas dan memahami topik semalam. Kemudian mula mengemaskan segala peralatan dan pakaian. Setiap permulaan pasti ada akhirnya. Saya perlu kembali ke Malaysia selepas 6 hari di Makassar. Penerbangan ke KL 4.50 ptg dan sampai jam 8.00 mlm. Saya tekad akan datang lagi ke Makassar, sekitar bulan Januari, insyallah. Ada suatu pelajaran hebat yang perlu ditekuni di sana. Menanti sebuah perjuangan yang mesti disambut, diterokai dan diperjuangkan. Akan ku persiapkan diri ini untuk menyambut, meneroka dan berjuang. AKU bersedia menjadi PEJUANG. AKU mahu menikmati KEHIDUPAN seorang PEJUANG.
Sepanjang berada di Makassar terdapat beberapa makanan orang Bugis yang sempat saya nikmati seperti Burasak, Pisang Moleng, Ro’jok, Gula Tapok, Bakwang.

....Menyusul Nanti
  1. Cerita Si Tukang Kunci
  2. Milikilah IMPIAN, Rebutlah PELUANG, Tekunilah USAHA Anda.
  3. Kembalikan kepada Asal Kejadian: Teori Kehidupan

Sunday, November 1, 2009

Wahai Usahawan Didiklah Anak Mu

Salam,
Moga rahmat Allah sentiasa bersama dengan kita. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda sekalian tentang topik ini. Saya menguatkan hati untuk menulis walaupun saya bukan orang yang layak. Mohon kemaafan atas kelemahan. Hanya sekadar berkongsi kebimbangan.

Ibu bapa yang bekerja sering mengeluh tentang kesuntukan masa dan kepenatan dalam melakukan tugasan dan amanah. Keperluan untuk mencari wang bagi menyara keluarga adalah satu tuntutan yang berat, apatah lagi jika hidup di kota-kota besar dalam keadaan kos hidup yang terus meningkat. Kadangkala tuntutan ini kita penuhi secara melampau dan tidak pernah merasa cukup dan puas sedangkan dalam waktu yang sama kita banyak melakukan pembaziran dan berbelanja kepada perkara yang tidak perlu. Lihatlah cara kita makan (berapa menu sehari), berpakaian (cuba lihat dalam almari pakaian), berhias (rumah, diri, kereta) dan aspek-aspek lain. Saya tidak bercadang membincangkan isu ini walaupun perkara ini penting untuk dibincangkan (mungkin dalam catatan akan datang). Akibat dari pemenuhan satu aspek kehidupan ini menyebabkan kita alpa, lupa atau lalai dalam memenuhi aspek lain yang jauh lebih penting "Mendidik Anak-Anak Kita".

Sudahkan kita benar-benar mendidik anak-anak kita??? Jangan jawab dulu. Fikirkan secara mendalam dan sedar. Sudahkan kita benar-benar mendidik anak-anak kita? Adakah dengan menghantar anak-anak ke tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan univerisiti itu bermaksud kita telah mendidik anak-anak kita? Kalau itulah sahaja kefahaman kita tentang maksud mendidik, maka kita adalah golongan yang tertipu atau kita telah menipu diri kita sendiri. Itu hanya menghantar anak untuk menerima pelajaran. Peranan mendidik anak-anak adalah tugas hakiki kita sebagai ibu bapa, bukan tugas guru. Para guru dan pensyarah hanya memberi anak-anak kita pelajaran dan kemahiran.

Kita sedia maklum bahawa mendidik anak-anak adalah satu tanggungjawab yang besar kepada setiap ibubapa kerana ia akan melahirkan generasi yang cemerlang dan berakhlak mulia. Anak-anak adalah ibarat kain putih, maka ibu bapa yang akan mencorakkannya. Ini bertepatan dengan Sabda Rasulullah s.a.w. "Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapalah yang berperanan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Izinkan saya berkongsi dengan anda beberapa perkara yang mesti kita lakukan dalam mendidik anak-anak kita. Moga catatan ini memberi manfaat kepada saya dan pembaca sekalian.

1) Ajarkanlah anak-anak kamu dengan kalimah "Lailahaillallah". Biasakan mengajar anak-anak kita mengucapkan kalimah ini, baik yang besar apatah yang masih kecil. Peluk anak-anak kita dan dengarkan ke telinga mereka.

2) Suruh anak-anak kita mendirikan solat dan pukul mereka jika enggan. Pengalaman saya dalam sesi motivasi mendapati jarang sangat anak-anak dipukul kerana tidak solat. Ibu bapa takut dan mungkin janggal merotan anak yang enggan bersolat. Masalah sosial remaja pada masa ini dan akan datang semakin parah kerana sebahagian besar ibu-bapa tidak menjaga solat mereka dan solat anak-anak mereka.

3) Bina dan pelihara emosi anak-anak dengan memberikan kasih sayang, dorongan, pujian dan sokongan. Lazimkan mendoakan anak-anak serta memeluk mereka.


Sekian, moga bertemu lagi dengan catatan-catatan yang lain.