Sunday, October 25, 2009

Keghairahan Boleh Melupakan Kepedihan

Salam,

Pada kali ini saya berhasrat untuk mengupas topik di atas. Apa yang tergambar dalam fikiran anda bila membaca tajuk "Keghairahan Boleh Melupakan Kepedihan". Anda mungkin cuba membayangkan sesuatu atau mungkin tiada apa yang tergambar. Tidak mengapa.

Catatan ini berdasarkan pemerhatian "gelagat" anak ke 4 saya Muhammad berumur 6 tahun. Anak saya ini boleh dikategorikan dalam "golongan istimewa" dan mendapat rawatan "terapi kerja" dan "terapi pertuturan" di Hospital Serdang sejak 4 tahun yang lalu.

Seminggu selepas hari raya aidil fitri baru-baru ini, saya belikan sebuah basikal untuk anak ini dari duit raya yang disatukan. Si Muhamad ini belum pandai menunggang basikal, maka perlu ditambah dengan 2 tayar sokongan yang berfungsi sebagai pengimbang. Mulai hari itu beliau bersama abangnya Umar (anak ke 3 saya berumur 10 tahun) sama-sama bermain basikal. Nak dijadikan cerita, dalam beberapa jam, pemegang tayar sokongan itu bengkok. Bila pemegang tayar sokongan ini bengkok maka ia tidak lagi boleh membantu mengimbangkan basikal yang ditunggang oleh Muhamad. Wujud keadaan serba salah dalam dirinya.

Saya hanya memerhatikan gelagatnya. Sekejap dia memegang basikal...sekejap meletakkan kembali dan membetulkan pemegang tayar sokongan yang rosak. Apakah perkiraan dan pertimbangan yang sedang bermain di kotak fikirannya. Pada pandangan saya Muhammad sedang menimbang dan mahu membuat keputusan sama ada mahu meneruskan hasratnya atau melupakannya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meneruskan hasratnya menunggang basikal baru berwarna merah pilihannya itu.

...walaupun tanpa tayar sokongan...

Setelah mengambil keputusan itu, Muhammad terus mencuba...dan mencuba. Beberapa hari ini keghairahan untuk menunggang basikal terus mekar dan kembang. Walaupun jatuh berkali-kali namun ia tetap meneruskan usahanya. Luka, berdarah, sakit, mengaduh dan jatuh lagi tidak menjadi penghalang untuk mencapai hasratnya.
Muhammad mencuba..... jatuh... dia bangun ...cuba lagi ... dan jatuh... bangun lagi. Jatuh dan bangun, luka dan sakit menjadi sebahagian dari hidup ketika itu. Namun yang terus terpancar ialah keghairahan yang semakin ketara dan seluruh aktiviti hariannya terfokus kepada basikal. Apa tidaknya bangun dari tidur terus cari basikal hingga terbawa-bawa dalam mimpi.

Selepas bertarung dengan pelbagai harapan, halangan, risiko dan ketidakpastian, akhirnya Muhammad berjaya menunggang basikal tanpa perlu bergantung dengan tayar sokongan lagi. Kini dia menikmati sebuah pengalaman hidup. Tayar sokongan yang pada satu ketika dulu sangat diperlukan kini tidak diperlukan lagi. Tayar sokongan itu sudah boleh ditanggalkan.

Alah, itu cerita biasa je. Semua orang macam tu... Apa specialnya catatan ni, sampai nak dimuatkan dalam blog? Ini mungkin yang terkeluar dari mulut anda. Atau mungkin bermain dalam fikiran anda. Tidak mengapa. Saya tidak akan berkecil hati kerana saya telah bersedia menerimanya. Memang ini hanya sebuah cerita biasa dan kita juga pernah berdepan dengan situasi itu dan mungkin lebih hebat dari itu. Ya...saya setuju dengan anda.

Namun, persoalannya ialah mengapa kita selalu melupakan pengalaman dan pengajaran dari cerita-cerita ini? Kalau ketika zaman kanak-kanak kita tidak pernah mengenal erti kalah dan putus asa, tetapi mengapa itu menjadi ketakutan pada diri kita? Kita telah tahu bahawa latihan demi latihan akan menjadikan kita mahir? Mengapa kita malas berlatih? Kita juga telah tahu dalam perjuangan dan perniagaan pasti ada jatuh dan bangun. Tetapi mengapa ketika di usia dewasa kita takut bangun setelah jatuh? Mengapa kita sering memikirkan tentang kejatuhan dan kesakitan. Ke mana pergi keghairahan kita? Kenapa sudah tidak ghairah lagi untuk hidup? Mengapa tidak lagi ghairah dalam berfikir, merancang dan bertindak.
Cerita ringkas tadi membawa banyak pengajaran dan pedoman. Marilah kita ambil dan titipkan dalam perjuangan kita.
  • Basikal hanyalah sebagai alat, pentas, platform @ alat
  • Tayar sokongan sebagai bantuan, tunjukajar @ subsidi
  • Jatuh dan bangun adalah sebagai lumrah sebuah perjuangan
  • Keghairahan adalah semangat dalam perjuangan
  • Luka, berdarah dan pedih itu sebagai pengalaman sangat berharga
Sekian, mari kita berfikir sejenak...

2 comments:

  1. Semua yang kita lalui adalah pengalaman..

    ReplyDelete
  2. TQ Syu, kamu benar. Dalam meniti kehidupan sementara ni, kita mesti sentiasa bersangka baik pada ALLAH. Titipkan dalam doa, Ya Allah, baik bagi-Mu, pasti baik bagi ku.

    ReplyDelete