Sunday, November 1, 2009

Wahai Usahawan Didiklah Anak Mu

Salam,
Moga rahmat Allah sentiasa bersama dengan kita. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda sekalian tentang topik ini. Saya menguatkan hati untuk menulis walaupun saya bukan orang yang layak. Mohon kemaafan atas kelemahan. Hanya sekadar berkongsi kebimbangan.

Ibu bapa yang bekerja sering mengeluh tentang kesuntukan masa dan kepenatan dalam melakukan tugasan dan amanah. Keperluan untuk mencari wang bagi menyara keluarga adalah satu tuntutan yang berat, apatah lagi jika hidup di kota-kota besar dalam keadaan kos hidup yang terus meningkat. Kadangkala tuntutan ini kita penuhi secara melampau dan tidak pernah merasa cukup dan puas sedangkan dalam waktu yang sama kita banyak melakukan pembaziran dan berbelanja kepada perkara yang tidak perlu. Lihatlah cara kita makan (berapa menu sehari), berpakaian (cuba lihat dalam almari pakaian), berhias (rumah, diri, kereta) dan aspek-aspek lain. Saya tidak bercadang membincangkan isu ini walaupun perkara ini penting untuk dibincangkan (mungkin dalam catatan akan datang). Akibat dari pemenuhan satu aspek kehidupan ini menyebabkan kita alpa, lupa atau lalai dalam memenuhi aspek lain yang jauh lebih penting "Mendidik Anak-Anak Kita".

Sudahkan kita benar-benar mendidik anak-anak kita??? Jangan jawab dulu. Fikirkan secara mendalam dan sedar. Sudahkan kita benar-benar mendidik anak-anak kita? Adakah dengan menghantar anak-anak ke tadika, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan univerisiti itu bermaksud kita telah mendidik anak-anak kita? Kalau itulah sahaja kefahaman kita tentang maksud mendidik, maka kita adalah golongan yang tertipu atau kita telah menipu diri kita sendiri. Itu hanya menghantar anak untuk menerima pelajaran. Peranan mendidik anak-anak adalah tugas hakiki kita sebagai ibu bapa, bukan tugas guru. Para guru dan pensyarah hanya memberi anak-anak kita pelajaran dan kemahiran.

Kita sedia maklum bahawa mendidik anak-anak adalah satu tanggungjawab yang besar kepada setiap ibubapa kerana ia akan melahirkan generasi yang cemerlang dan berakhlak mulia. Anak-anak adalah ibarat kain putih, maka ibu bapa yang akan mencorakkannya. Ini bertepatan dengan Sabda Rasulullah s.a.w. "Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapalah yang berperanan mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi".

Izinkan saya berkongsi dengan anda beberapa perkara yang mesti kita lakukan dalam mendidik anak-anak kita. Moga catatan ini memberi manfaat kepada saya dan pembaca sekalian.

1) Ajarkanlah anak-anak kamu dengan kalimah "Lailahaillallah". Biasakan mengajar anak-anak kita mengucapkan kalimah ini, baik yang besar apatah yang masih kecil. Peluk anak-anak kita dan dengarkan ke telinga mereka.

2) Suruh anak-anak kita mendirikan solat dan pukul mereka jika enggan. Pengalaman saya dalam sesi motivasi mendapati jarang sangat anak-anak dipukul kerana tidak solat. Ibu bapa takut dan mungkin janggal merotan anak yang enggan bersolat. Masalah sosial remaja pada masa ini dan akan datang semakin parah kerana sebahagian besar ibu-bapa tidak menjaga solat mereka dan solat anak-anak mereka.

3) Bina dan pelihara emosi anak-anak dengan memberikan kasih sayang, dorongan, pujian dan sokongan. Lazimkan mendoakan anak-anak serta memeluk mereka.


Sekian, moga bertemu lagi dengan catatan-catatan yang lain.

No comments:

Post a Comment