Saturday, November 28, 2009

Wahai Usahawan Jauhilah Sifat-Sifat Mazmumah (Tercela)

Mudah-mudahan kita semua sentiasa dalam rahmat Allah. Pada kali ini saya menyeru pada diri saya sendiri dan kepada usahawan sekalian, marilah kita berusaha menjauhi sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat yang tercela.

Menurut Imam al-Ghazali, antara sifat-sifat mazmumah adalah seperti berikut:-

1. Gemar Makan dan Minum
Para usahawan selalu menghadiri majlis-majlis keraian sama ada secara formal maupun informal. Pada kebiasaan majlis itu disediakan makanan yang pelbagai dan kadangkalanya mewah. Kita perlu mengawal diri dari mengambil makanan yang banyak dan membazir. Makanlah secara sederhana. Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yg bermaksud "Yang terlebih afdal (utama) pada Allah itu ialah orang yang banyak berlapar dan banyak bertafakur (berfikir sambil meneliti). Dan yang terlebih benci kepada Allah itu ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak minum." Hal ini kerana mereka yang selalu kekenyangan akibat gemar makan dan minum akan terhindar daripada melakukan ibadah kerana sentiasa terdorong untuk tidur dan istirahat.

2. Banyak Berkata-kata (yg sia-sia)
Usahawan dikenali sebagai orang yang suka bercakap. Elakkan bercakap perkara-perkara yang sia-sia yang boleh ditakrifkan sebagai bencana lisan iaitu mengumpat, menghina, berdusta dan bertengkar. Firman Allah SWT bermaksud "Tidak ada kebaikan pada kebanyakkan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mendamaikan antara manusia". (Al-Nisa:114).

3. Marah
Sifat marah berpunca daripada kurang sikap kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan terutama dalam keadaan tertekan. Orang yang bersifat demikian selalunya didorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya. Seringkali orang yang pemarah ini mewarisi sifat-sifat seperti sombong, bongkak, tidak boleh ditegur dan lain-lain.

4. Hasad, Dengki, dan Iri Hati
Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi oleh orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya. Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi SAW yang maksudnya "Hasad itu memakan (memusnahkan) kebajikan sebagaimana api memakan (membakar) kayu". Untuk mengelakkan perasaan hasad, dengki dan iri hati, seseorang itu perlu selalu mengamalkan sifat tawaduk (rendah diri), mengucapkan puji dan syukur kepada Allah atas nikmat yang dikecapi oleh saudara seislam kita. Mudah-mudahan kita juga akan dilimpahi nikmat yang serupa oleh Allah.

5. Kasih pada Harta
Tiada salahnya memiliki harta dan kemewahan hidup, tetapi kemewahan yang membawa sifat bakhil, tamak dan membazir dibenci oleh Islam. Islam menuntut orang kaya dan orang berada menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat seperti bersedekah, berzakat dan membelanjakan harta ke jalan Allah. Firman Allah yang bermaksud "Hai orang yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu dan anak pinakmu daripada mengingati Allah. Sesiapa yang berbuat demikian, maka tergolonglah mereka di kalangan orang yang rugi" (Al-Munafiqun: 9).

6. Takbur
Banyak sebab yang boleh membawa seseorang itu kepada sifat takbur atau menyombong diri, antaranya sebab nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kecantikan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadah. Firman Allah yang bemaksudnya "Apabila dikatakan padanya: "Takutilah Allah," ia lalu dipengaruhi oleh kemegahan (takbur) yang membawanya kepada dosa, cukuplah neraka Jahanam (sebagai balasannya)". (Al-Baqarah:206)

Cara menghindari sifat takbur ialah selalu mengamalkan sifat tawaduk (rendah diri) dengan memperbanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal.

7. Riyak
Riyak ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan. Sifat riyak yang nyata seperti menunjuk-nunjuk dalam hal ibadah dan riyak yang tersembunyi ialah beratnya hati seseorang untuk beramal apabila bersendirian tetapi akan berbuat demikian apabila ada orang lain yang menyaksikannya.

Umat Islam perlu berhati-hati supaya tidak bersifat riyak dan sebaik-baiknya hendaklah membiasakan diri untuk merahsiakan segala amalan baik supaya tidak diketahui orang. Perkara yang boleh membuatkan seseorang itu riyak ialah mempertontonkan keindahan tubuh badan, pakaian, ucapan dan perlakuan.
8. Ujub
Sifat ujub berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ia juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaan dan lain-lain. Sifat ujub boleh diatasi dengan sentiasa memikir bahawa tidak ada benda yang kekal di dunia ini. Setiap sifat boleh ditimpa keuzuran atau penyakit suatu hari nanti. Yang tinggi darjat keturunannya tidak akan dinilai di sisi Allah selain takwa dan yang kaya pula boleh mengalami bencara-bencara seperti kecurian, penculikan dan sebagainya. Sentiasa muhasabah diri sebagai hamba Allah akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat-sifat tercela ini.

9. Kasih akan Dunia
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupan dan kesenangan duniawi akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia telah digambarkan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta dan anak pinak" (Al-Hadid: 20). Segala yang dijadikan di muka bumi ini adalah sebagai perhiasan dan cubaan kepada manusia untuk menilai baik buruknya amalan seseorang itu.
Seandainya insan itu mengenali hakikat kejadian dirinya dan mengenali rahsia dirinya dengan sebaik-baiknya, mengenali rahsia dan hikmah dunia ini sebagai tempat menimba bekalan takwa menuju akhirat, pasti kecintaan yang melampaui batas terhadap kehidupan dunia yang sementara ini akan terhapus.
(Sumber: Dato' Ismail Kamus & Mohd Azrul Azlen, 2009. Indahnya Hidup Bersyariat. Telaga Biru Sdn Bhd.)

2 comments: