Sunday, May 31, 2009

Kerja Kuat Jadikan Budaya Niaga

Kita telah pun masuk ke bulan Jun 2009. Usia saya juga bertambah pada bulan ini. Usia yang semakin meningkat seharusnya menjadikan kita lebih matang berfikir, merancang dan bertindak terutamanya dalam membuat keputusan. Kematangan bukan disebabkan oleh umur tetapi adalah gabungan dari jumlah pengalaman, pelajaran dan jatuh bangunnya kita dalam perniagaan dan kehidupan. Sahabat saya pernah berkata, "jika anda rasa anda cukup bagus, terjunlah dalam bidang perniagaan barulah anda tahu tinggi rendahnya langit". Saya pada awalnya tidak mengerti, namun kini mula memahaminya sedikit demi sedikit.

Ok berbalik kepada tajuk kita. Hari ini saya berpeluang dan berkesempatan minum pagi bersama seorang tauke Cina di Banting. Kami berdua berbual tentang banyak hal seperti politik, ekonomi dan perubahan-perubahan persekitaran yang berlaku. Tauke ini dah berumur dalam lingkungan 70 tahun. Seperti biasa saya akan menjurus perbincangan kepada perniagaan, cabaran berniaga dan juga budaya orang berniaga. Sebenarnya ini adalah perbincangan kedua saya dengan beliau dan saya banyak bertanya dan belajar dengan beliau.

Maka di sini saya titipkan beberapa perkara yang dibincangkan:

1) Budaya kerja kuat mestilah menjadi amalan kepada semua peniaga. Kerja kuat bukan setakat tulang empat kerat tetapi merangkumi berfikir, merancang dan bertindak. Mungkin kita pernah terdengar "work smart" dan juga "work hard & smart". Perbincangan menyimpulkan bahawa untuk terus berjuang work hard mesti jadikan budaya.

2) Membeli keperluan hidup dengan wang tunai. Tauke ini membandingkan budaya membeli orang Cina dengan orang Melayu. Orang Melayu gemar membeli barang keperluan hidup seperti TV, peti ais dengan cara hutang. Orang Cina pula membeli barang keperluan ini dengan tunai. Kita perlu melihat ke dalam sedikit. Hal ini bermaksud orang Melayu memilih untuk bersuka dahulu dan susah kemudian (kerana nak bayar) sedangkan orang Cina pula susah dahulu (kumpul dulu) dan kemudian baru menikmati. Pada pandangan anda yang mana lebih nikmat???.

3) Orang Cina mengajar anaknya berniaga dan menabung sejak awal lagi dan menjadikan berniaga adalah tradisi mereka. Mereka mempunyai kesedaran yang sangat tinggi tentang perniagaan walaupun mendidik anak-anak berniaga adalah satu perkara yang sukar tetapi mereka sedar kepentingannya. Sebagai perbandingan tauke itu memberi contoh pemilihan bidang pendidikan pelajar. Pelajar Cina suka bidang atau subjek yang susah sedangkan pelajar Melayu suka subjek yang mudah dan senang.
Kita sambung nanti dengan kupasan... Komen anda dialukan...

Thursday, May 28, 2009

Cabaran Penternak Junior

Petang ini saya berkesempatan bertemu dan berbual dengan seorang petani dan penternak junior. Beliau tinggal di Tanjung Sepat dan mula berjinak dalam menternak ikan keli secara kecilan. Usaha kali pertama berjaya. Namun usaha pusingan kedua hampir gagal. Manakan tidak benih keli sebanyak 1000 hanya tinggal sekitar 200 sahaja. Kegembiraan pusingan pertama menjadi mimpi ngeri dan pusingan ketiga terpaksa ditangguhkan.
Persoalannya: Mengapa pusingan ketiga terpaksa ditangguhkan???? Budaya niaga apa yang perlu dimiliki dan diterapkan oleh pendatang baru dunia ternak ini. Marilah kita bincangkan kisah ini dan sebenarnya ramai lagi pendatang baru dunia ternak berdepan dengan masalah ini.

Tuesday, May 26, 2009

Salam Perjuangan dan Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Sebagai pembuka bicara saya paparkan dua perkara ringkas berkaitan kejayaan dalam perniagaan. Pertama, kejayaan berniaga bukan datang secara ajaib, dijampi atau menggunakan mentera tertentu. Ia memerlukan nilai-nilai yang khusus dan melibatkan proses berfikir, merancang dan bertindak.
Tiger Woods, seorang pemain golf profesional dan terkemuka pernah ditanya apakah rahsia kejayaannya sebagai seorang pemain golf. Beliau memberitahu tidak ada apa-apa rahsia. Yang penting kejayaannya adalah kerana usaha, latihan dan inisiatifnya hendak menjadi pemain golf yang paling berjaya di dunia.
Kedua, ingat pesanan Ali bin Abi Talib kepada anaknya: “Kekayaan yang paling berharga adalah akal. Kefakiran yang paling besar adalah kebodohan. Sesuatu yang paling keji adalah sikap ujub dan bangga diri. Kemuliaan yang paling tinggi adalah akhlak yang mulia”. Duit bukanlah kunci kepada segala kejayaan. Jika ia tidak disusuli dengan iman serta ilmu dunia dan akhirat, tidak mustahil ramai yang akan tersesat.