Sunday, May 31, 2009

Kerja Kuat Jadikan Budaya Niaga

Kita telah pun masuk ke bulan Jun 2009. Usia saya juga bertambah pada bulan ini. Usia yang semakin meningkat seharusnya menjadikan kita lebih matang berfikir, merancang dan bertindak terutamanya dalam membuat keputusan. Kematangan bukan disebabkan oleh umur tetapi adalah gabungan dari jumlah pengalaman, pelajaran dan jatuh bangunnya kita dalam perniagaan dan kehidupan. Sahabat saya pernah berkata, "jika anda rasa anda cukup bagus, terjunlah dalam bidang perniagaan barulah anda tahu tinggi rendahnya langit". Saya pada awalnya tidak mengerti, namun kini mula memahaminya sedikit demi sedikit.

Ok berbalik kepada tajuk kita. Hari ini saya berpeluang dan berkesempatan minum pagi bersama seorang tauke Cina di Banting. Kami berdua berbual tentang banyak hal seperti politik, ekonomi dan perubahan-perubahan persekitaran yang berlaku. Tauke ini dah berumur dalam lingkungan 70 tahun. Seperti biasa saya akan menjurus perbincangan kepada perniagaan, cabaran berniaga dan juga budaya orang berniaga. Sebenarnya ini adalah perbincangan kedua saya dengan beliau dan saya banyak bertanya dan belajar dengan beliau.

Maka di sini saya titipkan beberapa perkara yang dibincangkan:

1) Budaya kerja kuat mestilah menjadi amalan kepada semua peniaga. Kerja kuat bukan setakat tulang empat kerat tetapi merangkumi berfikir, merancang dan bertindak. Mungkin kita pernah terdengar "work smart" dan juga "work hard & smart". Perbincangan menyimpulkan bahawa untuk terus berjuang work hard mesti jadikan budaya.

2) Membeli keperluan hidup dengan wang tunai. Tauke ini membandingkan budaya membeli orang Cina dengan orang Melayu. Orang Melayu gemar membeli barang keperluan hidup seperti TV, peti ais dengan cara hutang. Orang Cina pula membeli barang keperluan ini dengan tunai. Kita perlu melihat ke dalam sedikit. Hal ini bermaksud orang Melayu memilih untuk bersuka dahulu dan susah kemudian (kerana nak bayar) sedangkan orang Cina pula susah dahulu (kumpul dulu) dan kemudian baru menikmati. Pada pandangan anda yang mana lebih nikmat???.

3) Orang Cina mengajar anaknya berniaga dan menabung sejak awal lagi dan menjadikan berniaga adalah tradisi mereka. Mereka mempunyai kesedaran yang sangat tinggi tentang perniagaan walaupun mendidik anak-anak berniaga adalah satu perkara yang sukar tetapi mereka sedar kepentingannya. Sebagai perbandingan tauke itu memberi contoh pemilihan bidang pendidikan pelajar. Pelajar Cina suka bidang atau subjek yang susah sedangkan pelajar Melayu suka subjek yang mudah dan senang.
Kita sambung nanti dengan kupasan... Komen anda dialukan...

No comments:

Post a Comment