Sunday, January 3, 2010

Cerita Burung Di Waktu Pagi

Lazimnya setiap pagi hari cuti saya duduk di beranda rumah sambil melihat keindahan langit pagi. Cerah dan kadang kala mendung sebagai tanda hujan akan turun. Dalam suasana pagi kelihatan kumpulan-kumpulan burung terbang riang untuk memulakan kehidupan. Ya, burung terbang dan berkicau. Mereka menzahirkan rasa riang dan penuh pengharapan. Kicauan itu sebagai bukti kukuh semangat juang seekor pejuang. Terbang di langit biru di waktu pagi dan bersangka baik pada rezeki Tuhan. Terbang tanpa prasangka, tanpa permusuhan, tanpa konflik dan krisis. Terus-terusan berusaha mencari rezeki pada setiap hari.

Sebenarnya hampir setiap pagi cuti saya memerhatikan fenomena ini. Hanya melihat dengan mata tanpa ada pengajaran yang berguna. Namun pada pagi Ahad (3 Januari 2010) saya memperoleh satu pelajaran yang cukup besar. Perhatikan gelagat burung-burung itu dan carilah makna kehidupan.
Beberapa intipati dari fenomena ini yang dapat saya kongsikan dengan pembaca sekalian.
  1. Alangkah bahagianya jika diri ini (harap anda juga begitu) seperti burung-burung itu pada setiap hari. Bangun di awal waktu dengan azam seorang pejuang untuk meneruskan perjuangan dengan penuh keceriaan dan harapan walaupun semalam penuh dengan ujian-ujian gentir. Tetap bersemangat dan penuh dengan keazaman walaupun tidak menyambut dan meraikan Tahun Baru.
  2. Alangkah bahagianya jika anak-anakku bersemangat seperti burung-burung itu setiap pagi untuk ke sekolah. Ceria dan riang untuk menuntut ilmu dengan semangat kasih sayang walaupun tidak pernah memakai pakaian seragam baru.
  3. Alangkah bahagianya jika bekas anak-anak didik ku seperti burung-burung ini dalam meneruskan kehidupan. Meletakkan misi perjuangan sebagai khalifah Allah untuk memakmurkan bumi ini. Bukan hanya sekadar untuk memenuhkan perut dan mengejar dunia yang bersifat sementara. Peliharalah hubunganmu dengan ALLAH dan hubunganmu sesama manusia. Jangan biarkan prasangka, permusuhan, konflik dan krisis memesongkan diri mu dari ALLAH.
  4. Alangkah bahagianya jika anak-anak didikku seperti ini setiap kali menghadiri kuliah. Wajah yang ceria dan semangat yang membara. Meniti peluang yang masih terbuka luas seluas langit biru untuk membentuk diri menjadi seorang pejuang agama Allah untuk membebaskan seluruh masyarakat dari pengabdiaan diri selain dari ALLAH. Di akhir zaman ini terlalu ramai manusia menyembah tuhan selain ALLAH. Mereka menyembah tuhan-tuhan yang berupa pangkat, kedudukan, wang dan pengaruh.
  5. Alangkah bahagianya jika seluruh ahli jaringan bisnes ku seperti burung-burung itu. Tetap melakukan pekerjaan dan begitu yakin dengan rezeki ALLAH. Sentiasa bersangka baik sesama teman dan rakan seperjuangan. Wajah yang terpancar sinar keikhlasan dan berjuang hanya kerana ALLAH.
  6. Alangkah bahagianya jika seluruh usahawan di muka dunia ini berazam menjadi usahawan yang jujur kerana AKU amat merindui usahawan yang jujur.